JAKARTA – Syarikat minyak negara Indonesia Pertamina sedang berusaha untuk mengawal kebakaran besar di loji minyak Balongan di Jawa Barat yang telah mencederakan lima orang dan menyebabkan 950 orang penduduk berdekatan dipindahkan.
Kebakaran dilaporkan berlaku selepas tengah malam Ahad.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan api besar memusahkan loji, sementara letupan besar dapat didengari.
Pertamina dalam satu kenyataan mengatakan, kebakaran loji yang memproses 125,000 tong sehari itu terjadi ketika cuaca buruk.
“Punca kebakaran tidak diketahui, tetapi semasa kejadian berlaku hujan lebat dan kilat,” kata Pertamina.
Jurucakap Pertamina, Ifki Sukarya berkata, lima orang yang cedera itu sedang dirawat di hospital kerana melecur.
Mereka ini termasuk beberapa individu yang sedang melalui loji berkenaan semasa kebakaran berlaku.
Rakaman televisyen menunjukkan api masih marak pada pagi Isnin dan asap hitam menyelubungi dari lokasi yang terletak kira-kira 225 km (140 batu) di timur ibu kota Jakarta.
Seorang penduduk berhampiran memberitahu Metro TV, dia terjaga dari tidur selepas bau asap minyak yang kuat.
“Kami terhidu bahan bakar yang kuat terlebih dahulu, begitu kuat sehingga hidung saya sakit, kemudian terdengar kilat,” kata Susi.
Firma minyak itu memaklumkan, pihaknya terpaksa menutup kilang dan melakukan “pengawalan aliran minyak” untuk mencegah penyebaran lebih lanjut. – MalaysiaGazette