SIBU – Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah setingkat di Lorong Tiong Hua, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata setakat ini identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan mayat mangsa ditemukan pasukan bomba dalam rumah pertama pada kira-kira 6.30 pagi.
Pihak bomba menerima panggilan kebakaran tersebut pada 1.55 pagi dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan dibantu BBP Sungai Merah dengan 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar ialah 2,230 meter persegi dan kerja-kerja pemadaman selesai pada 7.50 pagi tadi.
Katanya, punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut sedang disiasat.- BERNAMA