Home Utama “Saya ini top dog Harapan” – Tun M

“Saya ini top dog Harapan” – Tun M

Tun Mahathir Mohamad. foto IQBAL BASRI, 18 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kedudukannya di dalam Pakatan Harapan (PH) adalah sama seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun beliau yang juga bekas perdana menteri menyifatkan ia merupakan satu perkara tidak rasmi.

“Saya salah seorang pemimpin dalam Harapan. Sebagai pengerusi saya akan pengerusikan majlis presiden.

“Dalam hirarki Harapan, sayalah top dog (pemimpin dominan),” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Tun M diumum sebagai pengerusi Pakatan Harapan sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan meliwat dinamakan sebagai ketua umum.

Isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai presiden gabungan empat parti itu.

Menjawab soalan wartawan berhubung kedudukan kuasa antara ketiga-tiga pemimpin, Mahathir berkata, tidak boleh melantik tiga orang perdana menteri sekaligus di dalam negara ini.

Bagaimanapun beliau mengakui, semua itu hanya satu perkara retorik dan tidak bermaksud beliau berkehendakkan mahu menjadi calon perdana menteri.

Dalam sidang media sama Mahathir memberi sokongan kuat kepada pencalonan bekas timbalannya Anwar sebagai perdana menteri apabila PH memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pada masa ini PH hanya menunggu masa sesuai untuk mengumumkan pilihan perdana menteri kerana mahu melakukan kejutan untuk pilihan raya nanti.

“Saya sedia memberi sokongan penuh jika itu yang rakyat mahu.

“Kami akan umum nama beliau bila tiba masanya. Mungkin sekarang, atau mungkin sebelum pilihan raya, atau sejurus selepas menang,” ujarnya.

Mahathir berkata sokongannya kepada Anwar itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Tidak ada apa yang baharu. Sebelum Anwar menentang BN. Beliau menentang saya. Saya terima dia masuk UMNO.

“Politik penuh dengan kejutan,” katanya yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). – MalaysiaGazette