KUALA LUMPUR – Banyak pengalaman yang dilalui oleh penyanyi baharu, Killa Driz, dalam industri muzik indie sejak berusia 15 tahun.
Pelbagai kisah pahit manis dirasai sendiri yang akhirnya mematangkan dirinya.
Membuat persembahan tanpa bayaran, ditipu orang-orang terdekat dan pelbagai perkara kurang manis terkena pada batang hidung sendiri.
Mengumpulkan segala rasa dan perasaan tersebut, Killa Driz, 22, menyusun baik segala-galanya ke dalam lagu Siapa Tahu yang berentak hip-hop.
“Saya buat sendiri lagu ini pada tahun lalu. Sebenarnya idea ini datang daripada kisah yang pernah dilalui sendiri selama ini. Banyak sangat peristiwa yang kurang manis bermain di fikiran dan saya fikir lebih baik dijadikan sebuah karya.
“Sudah tentu saya bersyukur kerana akhirnya dapat menyiapkan Siapa Tahu yang menceritakan tentang isi hati dan perjalanan hidup saya selama ini. Harapnya semua sudi menerima karya ini,” kata penyanyi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.
Bercerita apa yang sebenarnya terjadi, Killa Driz mengakui sudah merasai pelbagai kisah di dalam babak indie sebelum ini.
Paling berbekas di hati anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini apabila ‘dikapur’ oleh promoter selepas membuat persembahan tanpa sebarang bayaran.
Tidak cukup dengan itu, undangan persembahan juga pernah dibatalkan saat akhir meskipun sudah berada di tempat kejadian.
“Apabila mereka dapat penyanyi lain yang lebih besar nama hadir, mereka reject saya disebabkan tidak ada nama. Ini sudah biasa berlaku kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Bila dikenangkan semula semua itu, ia memang pengalaman yang mematangkan saya.
“Itu belum dikira kisah orang mengambil kesempatan dan sebagainya. Sebab itu saya tulis lagu Siapa Tahu berdasarkan pengalaman tersebut dan berharap dapat memberikan sesuatu kepada pendengar,” tambahnya lagi.
Mengakui lagu tersebut masih mengekalkan sentuhan indie sebelum beralih sepenuhnya kepada mainstream, Killa Driz berharap karya tersebut akan diterima baik oleh peminat indie dan tidak juga terlaku asing untuk pendengar secara keseluruhannya.
Menjadikan beberapa nama besar seperti Joe Flizzow, Sonaone dan Altimet sebagai ikon untuknya berkarya, dia berharap dapat mengikut jejak langkah mereka untuk terus menerobos industri seni tanah air dengan pelbagai kejayaan.
Selain mahukan karya akan datang diterima, dia mahu menjadi penyanyi yang berpengalaman sama ada dalam scene indie mahupun mainstream seperti mana yang dilalui oleh penyanyi lain.
Sepanjang melibatkan diri di dalam bidang nyanyian, Killa Driz juga pernah menghasilkan beberapa buah lagu termasuklah Jaga, Menunggumu, Untited 01, Gadai dan Racts. Menariknya Gadai juga dijadikan runut bunyi untuk filem Marabahaya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Killa Driz juga sudah merakamkan lagu baharu bersama Ryan Deedat dalam yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi selain terlibat dalam projek menghasilkan EP bersama Ismail Izzani.
Sementara itu, Siapa Tahu telah dilancarkan secara rasmi di semua plaform digital. Muzik video pula boleh ditonton melalui YouTube INDIGITAL MUSIC https://youtu.be/HqHZVKnsuB0. – MalaysiaGazette