OTTAWA – Kanada akan berhenti menawarkan penggunaan vaksin AstraZeneca kepada penerima di bawah 55 tahun dan meminta analisis baharu mengenai risiko dan faedah suntikan berdasarkan umur dan jantina.
Langkah itu susulan laporan pembekuan darah yang jarang berlaku tetapi serius, pendarahan dan beberapa kes kematian selepas penerima divaksinasi, terutama pada wanita muda.
Tetapi tidak ada kes seperti ini dilaporkan di Kanada selepas kira-kira 307,000 dos AstraZeneca diberikan.
Majlis Penasihat Nasional Imunisasi (Naci), panel pakar bebas, mengatakan kadar komplikasi pembekuan akibat penggunaan vaksin ini belum jelas.
Setakat ini, 40 peratus orang yang mengalaminya telah meninggal dunia, tetapi jumlah itu mungkin berkurangan kes dikenal pasti dan dirawat lebih awal, katanya.
“Daripada apa yang diketahui pada masa ini, terdapat ketidakpastian yang besar mengenai manfaat pemberian vaksin AstraZeneca Covid-19 kepada orang dewasa di bawah usia 55 tahun,” kata majlis itu.
Orang emas menghadapi risiko yang lebih besar untuk dimasukkan ke hospital dan kematian akibat Covid-19,dan komplikasi nampaknya lebih jarang berlaku pada kumpulan usia itu, kata Naci.
Oleh itu, kumpulan ini ditawarkan vaksin “dengan persetujuan yang dimaklumkan.”
Sebagai tindak balas kepada petunjuk Naci, Majlis Ketua Pegawai Perubatan Kesihatan Kanada, memaklumkan akan menghentikan vaksin untuk mereka yang berusia di bawah 55 tahun.
Majlis itu mengatakan Kanada mempunyai vaksin lain ketika membuat keputusan tersebut.
Sebilangan besar bekalan vaksin Kanada adalah dari Pfizer dan Moderna. – MalaysiaGazette