Home Nasional Perluaskan segera ruang demokrasi kepada anak muda – ABIM

Perluaskan segera ruang demokrasi kepada anak muda – ABIM

Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kebenaran untuk membenarkan remaja yang berusia 18 tahun ke atas mengundi seharusnya ditangani secara serius agar pelaksanaannya dapat dilakukan segera untuk pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana keputusan meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan tersebut telah dipersetujui oleh semua ahli Parlimen.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz mendakwa pihak bertanggungjawab seolah-olah tiada penumpuan yang serius berkenaan agenda untuk meluaskan lagi ruang demokrasi kepada anak muda khususnya warga yang bersia 18 tahun ke atas.

Lebih malang lagi, terdapat segelintir pemimpin politik yang secara tiba-tiba sinis dan memperlekeh kemampuan anak muda membuat keputusan memangkah kertas undi dengan pelbagai tohmahan dilemparkan seperti belum matang dan mentah.

”ABIM ingin menekankan dalam beberapa siri wacana dan libat urus berkaitan pendidikan demokrasi yang dijalankan kepada pelajar sekolah menengah atasan dan mereka yang berusia 18 ke atas, kami mendapati majoriti besar dari mereka sudah bersedia serta bijak untuk membuat pilihan memilih wakil rakyat dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, merujuk kepada data batchgeo.com menunjukkan 86 peratus negara telah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Ini tidak termasuk negara jiran Indonesia dan Timur Leste yang meletakkan had umur mengundi 17 tahun, selain 16 negara lain di dunia yang meletakkan had umur mengundi lebih muda iaitu 16 tahun.

”Justeru, adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk mereka terbabit untuk menyegerakan dasar undi 18 sebagai ruang anak muda untuk berperanan dalam sistem semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan,” tambahnya.

ABIM menegaskan, ketidakseriusan pihak berwajib melaksanakan dasar yang meluaskan ruang demokrasi anak muda termasuk kenyataan-kenyataan sinis segelintir pemimpin politik ini secara tidak langsung akan menjaukan lagi anak muda dari jalur politik sebagai salah satu mekanisme untuk menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette