Home Utama Jadikan krisis politik Myanmar sebagai pengajaran – Anifah

Jadikan krisis politik Myanmar sebagai pengajaran – Anifah

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berucap pada Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Krisis politik tidak berkesudahan di Myanmar perlu dijadikan pengajaran kepada rakyat di negara ini kerana pemerintahan yang dipilih oleh rakyat boleh digulingkan sehingga menimbulkan keadaan porak-peranda.

Bekas Menteri Luar merangkap Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, keputusan untuk menangguhkan sidang Parlimen ketika tempoh darurat di Malaysia sebenarnya boleh menjejaskan sistem demokrasi.

“Kita perlu ingat Parlimen adalah tonggak kebebasan dan aspirasi rakyat, ianya tidak sepatutnya ‘berhenti’ berfungsi. Sebarang halangan fungsi Parlimen sebenarnya akan menyebabkan popularisme dan sangat merbahaya bagi demokrasi di negara ini.

“Jadikan insiden di Myanmar ini sebagai satu pengajaran bagaimana sebuah pemerintahan demokratik yang dipilih boleh digulingkan dengan pemerintahan tentera yang akhirnya telah menyebabkan keadaan huru hara secara sosial dan ekonomi, ini sekaligus menyebabkan rakyat sengsara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pembukaan pada Forum Demokrasi Malaysia anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) yang bertemakan ‘Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia’ di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Anifah, sejak Langkah Sheraton, segelintir percaya pemerintahan kini adalah ‘kerajaan pintu belakang’ manakala ada pula yang berpendapat pentadbiran kini adalah ‘penyelamat’ dari kerajaan terdahulu.

Kata beliau, ada pihak merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak begitu efektif walaupun telah menjanjikan pelbagai reformasi tetapi pada masa sama kerajaan kini menimbulkan persoalan sama ada perubahan seperti kehendak rakyat telah dilakukan atau tidak.

Jelas Anifah, tiada bentuk pemerintahan yang sempurna namun semua itu memerlukan reformasi atau jika tidak, rakyat akan mengalami ketidakstabilan.

“Isu-isu yang melanda negara bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sejak kebelakangan ini, adalah sangat penting untuk kita semua tahu semua isu ini bertambah dan seperti tidak ada jalan penyelesaian.

“Malaysia telah mengamalkan demokrasi berparlimen oleh rakyat sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Undang-undang tertinggi diberikan kepada rakyat untuk memilih wakil mereka untuk membentuk kerajaan melalui pilihan raya bebas.

“Kita sama seperti model Westminster dengan memiliki cabang perundangan, eksekutif dan badan kehakiman pemerintah untuk melindungi prinsip-prinsip prinsip demokrasi kita yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi untuk kekal negara berdemokratik adalah mustahak untuk kita pertahankan setiap cabang pemerintahan dengan adil.

“Pada masa ini di Malaysia, ketegangan politik semakin meningkat dan ia mengundang kegelisahan rakyat terutamanya dengan berita-berita dihidangkan dalam platform media sosial,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Myanmar unik sebab sekian lama bergelut dengan pemberontakan pelbagai kaum ethnik yang PBB nampaknya biarkan jer.

Comments are closed.