KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan keputusan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kembali ke jajaran asal (ECRL 3.0) dibuat bagi memaksimumkan kelebihan daripada segi ekonomi dan teknikal bagi keseluruhan projek dan kesan limpahannya.
Berdasarkan jajaran asal projek ECRL pada tahun 2017, jajaran baharu ECRL 3.0 membolehkan laluan pintasan dari Serendah ke Pelabuhan Klang untuk servis KTMB diintegrasikan ke dalam keseluruhan projek.
Keputusan tersebut menjadikan servis kereta api KTMB lebih cekap kerana ia dapat menyelesaikan masalah laluan kargo ke KTMB yang ketika ini mempunyai isu kesesakan apabila melalui daerah pusat perniagaan Kuala Lumpur.
Menterinya, Datuk Wee Ka Siong berkata, keputusan itu juga meningkatkan taraf keselamatan orang awam kerana kereta api kargo KTMB yang sekarang ini melalui stesen KL Sentral dan Bank Negara Melaysia sering membawa bahan-bahan berbahaya.
Menurut beliau, jajaran baharu ECRL 3.0 bertujuan untuk melengkapkan penubuhan hub kargo nasional di Serendah dan meningkatkan kecekapan perjalanan kargo bagi KTMB dan ECRL.
Ini adalah penting kerana 70% hasil ECRL adalah dari pengangkutan kargo.
”Hub kargo nasional ini adalah untuk membentuk sebuah ketersambungan rel dari Serendah ke koridor ekonomi dan pelabuhan di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Penang, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Pelabuhan Kuantan serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan.
”Penyambungan melalui jajaran asal ke Pelabuhan Klang dengan West Port dan North Port menawarkan laluan yang lebih baik untuk perdagangan antarabangsa dan menjadikan laluan yang lebih menarik untuk industri perniagaan berorientasikan eksport.
”Sambungan hingga ke laluan terakhir atau “last-mile” Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang Dibawah ECRL 3.0 ini menjadikan kedua-dua lembah pantai lebih dekat dengan adanya landbridge yang memudahkan pemindahan barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ka Siong menambah, jajaran ECRL 3.0 juga dijangka meningkatkan pembangunan dan perbandaran baharu serta memacu aktiviti kormersial di sekitar kawasan baru seperti Puncak Alam dan Kapar, yang mana kedua-kedua kawasan tersebut telah direka sebagai stesen masa hadapan ECRL.
Stesen ECRL di Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak sememangnya memudahkan pengguna di Lembah Klang menuju ke negeri-negeri di Pantai Timur, selain ITT Gombak juga memberi laluan sambungan ke Laluan Kelana Jaya bagi LRT serta stesen KTMB Temerloh, Serendah dan Jalan Kastam.
Jajaran utara dijangka menarik sebanyak 26 juta tan kargo dan seramai lima juta penumpang pada tahun pertama beroperasi.
Tambah beliau, jajaran selatan pula diramal menarik sejumlah sembilan juta tan kargo dan seramai empat juta penumpang pada tahun pertama beroperasi.
Oleh itu, jajaran utara diunjurkan memberi lebih ramai penumpang dan muatan kargo untuk ECRL apabila beoperasi semasa tahun pertama.
Ka Siong berkata, walaupun sesetengah orang mungkin berpendapat jajaran selatan mungkin lebih murah sekiranya diteruskan.
Namun, jajaran tersebut hanya akan menghalang keseluruhan projek menghasilkan integrasi dan hab sebenar bagi wilayah-wilayah ekonomi di Semenanjung Malaysia dan menjadi pemangkin pertumbuhan yang kukuh dan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan, pembinaan, serta pembangunan harta tanah dan sebagainya.
”Kerajaan tetap akan meneruskan pembinaan ‘Pintasan Serendah’ walaupun jajaran selatan dibina, oleh kerana laluan pintas tersebut dapat menyelesaikan dengan segera isu bottleneck dan kesesakan perkhidmatan rel KTMB di sekitar Kuala Lumpur,” ujarnya.
Analisa terkumpul mengenai pembinaan jajaran selatan ECRL dan Pintasan Serendah secara berasingan menunjukkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar dan sosial yang lebih mendalam disebabkan oleh pembinaan trek keretapi yang lebih panjang yang melibatkan dua kawasan yang berasingan.
Katanya, sebanyak 95% kawasan tadahan air di Selangor akan terjejas sekiranya jajaran selatan dan Lintasan Serendah dibina secara berasingan berbanding 65 peratus di bawah jajaran utara.
Pembinaan jajaran utara juga akan menyelesaikan keperluan untuk laluan pintas di Serendah untuk KTMB.
Menurut Ka Siong, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL) telah banyak kali mengadakan sesi pertemuan dengan Kerajaan Negeri Selangor dan berjaya menangani kesemua isu yang dibangkitkan oleh pelbagai agensi negeri mengenai kewajaran untuk kembali ke jajaran asal ECRL.
Ini termasuk mengemukakan penyelesaian dan pelan mitigasi, antaranya melibatkan perlindungan alam sekitar, pengurangan impak sosial, dan penambahbaikan sistem perhubungan rel.
Malah, MRL juga telah membentangkan jalan penyelesaian mengenai jajaran ECRL yang merentasi Permatang Kuarza Gombak.
”Perlu ditegaskan bahawa pelaksanaan projek ECRL adalah bersandarkan kepada kepentingan ekonomi dan isu teknikal, bukannya bersandarkan kepada kepentingan politik,” katanya sambil menambah idea jajaran selatan ECRL melalui Negeri Sembilan sebelum ini telah diumumkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada April 2019. – MalaysiaGazette