Home Ekonomi Hampir 18,000 basikal terjual di Carousell Malaysia

Hampir 18,000 basikal terjual di Carousell Malaysia

KUALA LUMPUR – Penjualan basikal di Carousell menyaksikan sebanyak 63,345 transaksi dilakukan di Hong Kong, Malaysia dan Singapura dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Trend jualan basikal meningkat sejak suku keempat tahun lalu.

Malaysia adalah pasaran kedua teratas di Carousell dengan hampir 18,000 basikal dijual pada tahun 2020.

Ketika pandemik Covid-19 merebak ke seluruh dunia pada tahun 2020, permintaan terhadap peralatan kecergasan mula meningkat pada Mac 2020 dan mencecah puncak baharu pada Ogos 2020.

Carousell, salah satu platform jual beli dalam talian terbesar dan paling pantas berkembang di dunia berkata, purata transaksi bulanan juga meningkat sebanyak 44% pada separuh kedua tahun 2020 berbanding separuh pertama, dengan purata lebih 6,000 basikal dijual setiap bulan.

”Trend ini terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi pengguna untuk menyenaraikan basikal yang tidak digunakan dan peniaga yang mahu memanfaatkan trend ini,” katanya.

Malaysia juga telah bertahan dengan lebih 2,000 transaksi sebulan sejak November 2020.

Jumlah carian untuk basikal di Hong Kong, Malaysia dan Singapura bertambah sebanyak 1.6 kali ganda kepada 18.5 juta pada tahun 2020.

Carousell berkata, permintaan masih meningkat di rantau ini, dengan purata 1.6 juta carian untuk basikal setiap bulan pada tahun 2021.

Malaysia melakukan lebih 160,000 carian sebulan, manakala Singapura menyaksikan minat yang paling banyak iaitu lebih 1 juta carian, sesuai dengan trend carian keseluruhan di Malaysia, yang mana Google melaporkan peningkatan 250% dalam carian untuk istilah “basikal senaman” dalam laporan ‘Year In Search 2020: Malaysia’ mereka.

Jenis basikal yang paling popular di Malaysia adalah basikal jalan, sama seperti Hong Kong.

Basikal lasak (mountain bike) pula yang kedua popular di Malaysia, sama seperti Singapura. Jenama Amerika, Specialized menjadi pilihan paling popular di negara ini.

Sementara di Singapura mereka lebih suka jenama British Brompton dan Hong Kong pula lebih gemarkan jenama Amerika Dahon.

Basikal terpakai menjadi pilihan utama di seluruh rantau ini dengan 70.29% transaksi. Malaysia melepasi trend ini dan berada pada kedudukan teratas dengan 76.04% transaksi bagi basikal terpakai, manakala Hong Kong di tempat kedua dengan 72.46% dan Singapura pula 34.34%.

Dengan permintaan yang tinggi untuk basikal, harga basikal terpakai di Carousell juga menjadi kompetitif.

Contohnya, harga jualan bagi model basikal jalan Giant TCR Advanced 1 Disc KOM tahun ini adalah RM13,499, tetapi ia boleh didapati di Carousell pada harga RM9,998. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.