SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki yang hilang sejak Jumaat lepas ditemukan di atas bumbung sebuah kedai besi di Kampung Bukit Kapar, Meru semalam, dipercayai terjatuh dari pokok mangga berhampiran kedai itu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 7 malam semalam yang memaklumkan bahawa satu mayat dijumpai di atas bumbung kedai tersebut.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu bekerja mengambil upah mengecat di lokasi kejadian sejak seminggu yang lalu.
“Siasatan awal mendapati tiada kesan perlakuan jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nurulhuda berkata, saksi memberitahu si mati pernah beberapa kali memanjat pokok mangga di situ untuk mendapatkan buah dan dipercayai mangsa memanjat pokok itu untuk mengambil buah lalu terjatuh di atas atap dan tidak sedarkan diri sehingga mayatnya ditemui.
“Kali terakhir si mati dilihat pada petang Jumaat lalu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga mendapat keputusan bedah siasat,” katanya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada 7.54 malam semalam.
Beliau berkata, mangsa yang telah tiga hari dicari oleh keluarganya ditemui dalam keadaan sudah berulat.
“Kita tengok keadaan mayat itu dah berulat jadi kita lakukan kerja sanitasi dan menurunkan mangsa kemudian kita serahkan pada pihak polis,” katanya. – Bernama