KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menasihati menteri-menteri UMNO supaya kekal dalam Kabinet demi kepentingan rakyat dan negara.
Ini kerana, Perdana Menteri berkata, beberapa orang menteri dari UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus kerajaan pada masa ini.
“Justeru saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Alhamdulillah atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal dalam Kabinet,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya.
Artikel berkaitan:Pemimpin UMNO bertemu PM Muhyiddin di Perdana Putra
Wanita UMNO akur keputusan PAU, MT
Menurut beliau, menteri-menteri UMNO telah menemuinya kelmarin, meminta nasihat mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.
Dalam perhimpunan tersebut, UMNO menegaskan akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
Berikutan sepakatan yang dicapai itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan dilaksanakan seperti yang dirancang. – MalaysiaGazette