Home Ekonomi TransKom beri manfaat kepada 6.1 juta anggota koperasi – Angkasa

TransKom beri manfaat kepada 6.1 juta anggota koperasi – Angkasa

Abdul Fattah Abdullah

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang mewakili gerakan koperasi negara menyambut baik pelaksanaan Pelan Transformasi Korperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah yakin inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada lebih 14,000 buah koperasi dengan 6.1 juta anggota, sekali gus memperkukuh pembangunan sektor ini khususnya sewaktu krisis ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, langkah ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat gerakan ini menyumbang sebanyak RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

“Melalui lima Bidang Tujahan yang digariskan melalui pelan ini, saya amat yakin gerakan koperasi akan dapat terus berkembang sebagai satu platform dan ekosistem pengagihan ekonomi yang adil kepada anggota, masyarakat serta negara.

“Pelan yang dirangka selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama ini akan dapat memperhebatkan lagi peranan koperasi sebagai institusi yang dapat memberi nilai tambah kepada aktiviti perekonomian dan pada yang sama memenuhi keperluan anggota,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya lagi, Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara sentiasa komited menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan TransKom yang seiring dengan visi dan misi serta Pelan Strategik Angkasa 2017-2050.

Tambah beliau, Angkasa juga bersedia membimbing koperasi untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi dan memperluaskan produk dan perkhidmatan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antaranya melalui pemerkasaan koperasi kariah masjid dan koperasi komuniti bagi memasarkan produk halal dan konsep kewangan islam.

Selain itu, kata Fattah, Angkasa turut memberi tumpuan kepada pembangunan koperasi sekolah bagi meningkatkan pendidikan keusahawanan dalam kalangan golongan muda sebagai pelapis pemimpin koperasi yang dijadikan contoh kepada negara luar untuk mengadaptasi model pengurusan sektor koperasi sekolah.

“lni termasuk penyertaan golongan belia yang bakal mencorakkan gerakan ini menerusi idea baharu selaras dengan perkembangan digitalisasi yang semakin menjadi keperluan dalam perniagaan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan oleh koperasi lebih berdaya maju di pasaran terbuka,” jelas beliau.

Semalam dalam ucapan perasmian merasmikan TransKoM 2021, perdana menteri berkata, transformasi secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap gerakan koperasi di negara ini bagi memperkasa dan memantapkan peranannya supaya terus mampan dalam menghadapi cabaran abad ke-21, sekali gus seiring dengan zaman digitalisasi.

Justeru, katanya, langkah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membangunkan Transkom 2021-2025 adalah tepat bagi menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi itu. – MalaysiaGazette