Home Dunia Perakam suara pesawat Sriwijaya Air akhirnya ditemui

Perakam suara pesawat Sriwijaya Air akhirnya ditemui

Kotak hitam pesawat Sriwijaya Air yang ditemui tidak lama selepas pesawat berkenaan terhempas. foto Reuters

JAKARTA – Alat perakam suara (CVR) milik pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Laut Jawa pada 9 Januari lalu telah ditemui.

Jurucakap tentera laut berkata, CVR itu ditemui pada hari Rabu.

Kementerian Pengangkutan Indonesia dijangka membuat sidang media pada jam 11 pagi ini susulan pertemuan itu.

Penyelam telah menemui casing dan perakam isyarat CVR milik pesawat Boeing Co 737-500 yang berusia 26 tahun itu selepas beberapa hari insiden berlaku tetapi mengambil masa hampir tiga bulan untuk mencari unit memori pesawat berkenaan.

CVR salah satu bahagian kotak hitam pesawat. Kotak hitam pesawat memiliki 2 komponen, yakni Flight Data Recorder (FDR) dan CVR.

Dalam tragedi itu, seramai 62 orang anak kapal dan penumpang terbunuh.

Laporan awal oleh penyiasat mengenai kemalangan Sriwijaya mengatakan pesawat itu mempunyai ketidakseimbangan daya enjin yang menyebabkan pesawat berkenaan meluncur ke laut.

Dapatan itu adalah laporan daripada maklumat perakam data penerbangan yang ditemui semula sejurus selepas nahas itu.

Penemuan CVR ini akan dapat membantu penyiasat memahami tindakan yang dilakukan oleh juruterbang. – MalaysiaGazette