Home Ekonomi IHPR Februari naik 2.7%

IHPR Februari naik 2.7%

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada bulan Februari 2021 meningkat 2.7 peratus berbanding negatif 0.1 peratus pada Januari 2021.

Ini adalah perubahan positif pertama setelah mengalami pertumbuhan negatif 11 bulan berturut-turut sejak Mac 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pertanian, Perhutanan, Perikanan terus meningkat 35 peratus berbanding 22.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Indeks sektor Pembuatan dan Bekalan air masing-masing meningkat 1.5 peratus dan 0.8 peratus.

Sementara itu, Indeks Perlombongan mencatatkan perubahan negatif 11.0 peratus, bertambah baik dari negatif 28.3 peratus pada Januari 2021.

Walau bagaimanapun, Indeks Bekalan Elektrik & Gas turun 1.9 peratus, bersamaan dengan bulan sebelumnya.

Jelas beliau lagi, bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menunjukkan peningkatan 1.5 peratus pada Februari 2021 lebih rendah daripada 2.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Sektor Pembuatan dan Pertanian, perhutanan & Perikanan masing-masing meningkat dengan pertumbuhan yang perlahan 0.5 peratus (Januari 2021: 1.3%) dan 2.2 peratus (Januari 2021: 3.0%).

Sektor Perlombongan mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi 12.9 peratus berbanding 11.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Bekalan elektrik & gas juga mencatatkan pertumbuhan positif 0.3 peratus (Januari 2021: -0.1%), sementara itu, Indeks Bekalan air turun 0.4 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa IHPR pengeluaran tempatan tahun ke tahun bagi kesemua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan pada Februari 2021.

Peningkatan yang lebih tinggi dicatatkan oleh bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dengan pertumbuhan 10.0 peratus (Januari 2021: -3.4%).

Pada masa yang sama, Indeks Bahan Perantaraan, Bekalan & Komponen dan Barang siap
masing-masing meningkat 1.5 peratus dan 0.4 peratus. – MalaysiaGazette