PUTRAJAYA – Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) tidak menjelaskan kepada menteri-menteri UMNO tempoh untuk mereka meletakan jawatan.
Jelas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ketika usul untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), para perwakilan tidak langsung menyebut mengenai tempoh sembilan menteri dari parti itu perlu berbuat demikian.
“Menteri UMNO yang berada dalam Kabinet ini sedang bergelumang dan sedang dalam perjuangan membantu dalam program yang melibatkan rakyat secara langsung.
“Khairy (Jamaluddin) dengan imunisasi, (Datuk Seri) Dr. Adham Baba dengan program melibatkan Covid-19, demikian juga dengan (Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) dengan jalinan di peringkat luar negara sehingga menyaksikan bahawa lawatan yang dibuat oleh PM (Perdana Menteri).
“Demikian juga dengan (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) yang setiap hari keluar dan saya sendiri terpaksa melihat kepada sektor sukan dan memperjuangkan sektor sukan dibuka semula dengan banyak program dalam impak lain dengan isu penggangguran belia dan sebagainya.
“Begitu juga dengan (Tan Sri) Annuar Musa dengan program pemberian dan bantuan di peringkat Wilayah Persekutuan.
“Jadi tugasan kami masih lagi tidak berkesudahan dan kami melihat bahawa pada waktu ini tanggungjawab yang dilaksanakan kepada rakyat menjadi keutamaan kepada kita untuk kita letakkan kerana akhirnya kalau kita abaikan tanggungjawab akhirnya nama buruk parti juga yang akan dapat,” katanya dalam sidang media Majlis penyerahan penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support System (MYVAC) di kementeriannya hari ini.
Turut hadir Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Program MyVac merupakan inisiatif menyeluruh kerajaan dan masyarakat yang melibatkan kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sehingga kini, lebih 8,000 permohonan untuk menyertai MyVac telah diterima kementerian.
Reezal Merican diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana menteri UMNO tidak perlu meletakkan jawatan masing-masing.
Ini kerana terdapat beberapa orang menteri dari UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus kerajaan pada masa ini.
Muhyiddin turut berkata, beliau tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Mengulas mengenai itu, Reezal berkata sekiranya sembilan menteri UMNO bertindak meletakkan jawatan, ia akan memberikan impak negara kepada parti dan juga rakyat.
“Mereka (rakyat) akan kata menteri UMNO tidak jalankan tanggungjawab jadi hakikat menjalankan tanggungjawab untuk meneruskan tugas yang telah diberikan ini adalah salah satu cara bagi kami memastikan tanggapan kepada parti itu baik.
“Jadi tidak timbul soal nak letak jawatan dan sudut yang sama juga diambil Perdana Menteri yang memahami hasrat tersebut,” katanya lagi.
PAU 2020 yang berakhir Ahad lalu antaranya menegaskan agar UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. – MalaysiaGazette