Home Politik TPM setuju cadangan lantik MP mahasiswa jadi calon PRU-14

TPM setuju cadangan lantik MP mahasiswa jadi calon PRU-14

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menerima cenderahati daripada Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (tiga kanan) pada Majlis Makan Malam Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 18 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Mana-mana ahli Parlimen Mahasiswa yang berupaya menjadi pembahas terbaik dalam persidangan Parlimen Mahasiswa boleh diangkat menjadi calon pilihanraya umum mewakili Barisan Nasional pada PRU-14.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, cadangan itu perlu disuarakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Oleh kerana gendang pilihan raya hampir dibunyikan, mungkin Datuk Seri Idris Jusoh boleh bisik kepada Perdana Menteri untuk mana-mana yang boleh menjadi pembahas terbaik jadi calon (BN).

“Perdana Menteri merupakan seorang pendengar yang sangat baik, saya kira bisikan Datuk Seri Idris Jusoh itu akan didengari oleh Perdana Menteri,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Parlimen Malaysia 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Beliau juga memuji kualiti perbahasan persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 dan ia perlu dijadikan hansard sebagai rujukan generasi akan datang.

“Terbaik bukan hanya dari segi persembahan tetapi dari segi intipati dan isi kandungan perbahasan. Perbahasan itu dihansardkan sebagaimana perbahasan ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ini adalah cukup berguna bukan hanya untuk memberi motivasi kepada kita tetapi sebagai panduan untuk sesi-sesi akan datang. Saya akan memberikan peruntukan kepada Mubarak untuk mencetak perbahasan ini,” jelasnya.

Menurutnya, dalam menjaga kebajikan mahasiswa terbabit, Ahmad Zahid mengumumkan elaun kedatangan mereka ke Parlimen bakal dinaikkan kepada RM200 sehari.

“Mereka ini bukan mahasiswa sebarangan, mereka mewakili mahasiswa, mereka adalah wakil rakyat mahasiswa, mereka amat berbesar hati jika satu jumlah yang lebih tinggi diberikan.

“Saya dimaklumkan mahasiswa ini diberikan elaun kehadiran RM100 sehari tap[i ia sesuai tapi pada tahun 70-an. Sekarang 2017, kena tambah sekali ganda lagi RM100. Selain daripada penginapan dan pengangkutan,” ulasnya.

Beliau turut memuji prestasi mahasiswa yang berbahas malah lebih baik daripada ahli Parlimen sebenar.

“Nampaknya ahli-ahli Parlimen mahasiswa lebih baik akhlak daripada sesetengah ahli Parlimen yang kurang baik akhlaknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.