Home Dunia Vaksin BioNTech-Pfizer 100% berkesan untuk remaja 12 hingga 15 tahun

Vaksin BioNTech-Pfizer 100% berkesan untuk remaja 12 hingga 15 tahun

Gambar hiasan

BERLIN – Vaksin BioNTech-Pfizer 100 peratus berkesan terhadap virus Covid-19 dalam kalangan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun, menurut syarikat pengeluar vaksin itu.

Ketua Eksekutifnya, Albert Bourla berkata, syarikat sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan memberi vaksinasi sebelum penggal persekolahan yang baharu.

Jelasnya, ujikaji telah dijalankan ke atas 2,260 remaja di Amerika Syarikat (AS) yang mana ia menunjukkan keberkesanan 100 peratus dan tindak balas antibodi menyeluruh.

“Kami merancang untuk menyerahkan data ini kepada pengawal selia AS (FDA) sebagai usulan pindaan terhadap kelulusan bagi kegunaan kecemasan kami dalam masa beberapa minggu mendatang.

“Melihat daripada hasil ujian, ia menunjukkan tahap perlindungan adalah tinggi bagi golongan remaja.

“Maka kami sangat menggalakkan pengambilan vaksin ini susulan penularan varian B117 dari Britain.

“Diharapkan vaksiniasi bagi kumpulan usia ini dapat dijalankan sebelum bermula penggal persekolahan seterusnya,” katanya.

Suntikan vaksin BioNTech-Pfizer adalah berdasarkan teknologi baru mRNA dan merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan di negara-negara Barat pada lewat tahun lalu.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah meluluskan penggunaannya bagi individu berusia 16 tahun dan ke atas.

Sejak itu, jutaan orang dewasa di lebih 65 buah negara disuntik dengan vaksin itu. – MalaysiaGazette