BATU PAHAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu mengesan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang sehingga kini masih gagal dikesan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Nicky Liow akan cuba menyusup keluar dari Malaysia memandangkan dia mempunyai rangkaian yang luas.
“Selain itu, Nicky juga banyak connection dengan agensi, pegawai dan anggota penguatkuasa di mana dia ada kaitan dengan individu pengaruh, mungkin dia ambil kesempatan dari rangkaian kerja untuk berlindung atau melusup keluar,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ayob, polis Johor percaya lelaki berusia 33 tahun itu masih bersembunyi dan berada di sekitar Lembah Klang.
“Datuk Nicky masih belum dapat dikesan dan kita pun telah memasukkan namanya di dalam senarai disemua pintu masuj yang sah dan tidak sah.
“Ini untuk kita pastikan supaya dia tidak mempunyai kesempatan menyusup keluar dan insyallah dalam waktu terdekat kita akan pastikan dia akan ditangkap,”katanya kepada media selepas merasmikan Program Town Hall Discussion PDRM Johor di Batu Pahat Johor.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis melumpuhkan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ yang disyaki terlibat dalam jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam dan pengubahan wang haram.
Seramai 68 orang ditahan dan ratusan ribu ringgit wang tunai serta aset bernilai jutaan ringgit dirampas dalam 70 serbuan di sekitar Selangor dan Lembah Klang baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN
- 34 pegawai, anggota penguatkuasa terlibat Geng Nicky – KPN
- 48 orang kanan Geng Nicky ditahan Sosma, rampasan cecah RM7.4 juta
- Bekas Timbalan Pendakwa Raya diburu berhubung kes ‘Datuk Seri Nicky’
- KPN Kesal Ada ‘Anak Buah’ Jadi Pengkhianat, Dr Asyraf Jawab Khairy #MGFlash
Mereka yang ditahan itu termasuk dua adik Nicky bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ berusia 28 dan 30 tahun yang merupakan antara dua lelaki berstatus ‘Datuk Seri’ serta lima lelaki dan seorang wanita bergelar ‘Datuk’.
Liow Soon Hee yang merupakan merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor kini menjadi buruan polis dan dipercayai masih bersembunyi dalam negara.
Polis turut tidak menolak kemungkinan penglibatan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa dan beberapa orang kenamaan yang bersekongkol bersama Geng Nicky.- MalaysiaGazette