GEORGE TOWN – Tindakan jiran menghubungi pihak berkuasa susulan kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu membawa kepada penemuan mayatnya hampir reput di dalam bilik air di sebuah pangsapuri di Taman Desa Rahmat, Persiaran Paya Terubong di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Rizal Che Ani, 54, ditemui di rumah sewanya dalam keadaan terlentang dan berseluar pendek.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 12.52 tengahari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dikerahkan ke lokasi.
“Kita terima panggilan daripada jiran yang mendakwa lelaki terbabit tidak keluar daripada rumahnya sejak seminggu lalu. Susulan itu, anggota bomba melakukan pencarian di dalam rumah itu sebelum terhidu bau busuk dari arah bilik air.
“Kita menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu berkenaan sebelum menemui mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan siasatan lanjut diserahkan kepada pihak polis. – MalaysiaGazette