Home Nasional Nelayan dipercayai lemas selepas melabuhkan bot

Nelayan dipercayai lemas selepas melabuhkan bot

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh di sebuah kolam berhampiran Taman Bukit Saga, Mantin, dekat sini lewat malam tadi.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang nelayan warga tempatan dikhuatiri lemas selepas melabuhkan bot di tengah laut ketika cuba berenang ke darat di Pantai Sungai Ular dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, insiden berlaku 4.30 petang selepas mangsa dilihat kali terakhir membawa bot dari darat ke tengah laut.

Mangsa, Mohd Shahrudin Remeli, 26, anak jati Kampung Sungai  Ular difahamkan mahir berenang tetapi dipercayai mengalami kekejangan otot ketika berenang ke pantai sebelum tenggelam.

Operasi menyelamat dan mencari diteruskan dengan kekuatan sembilan pegawai dan 88 anggota dihentikan pukul 7.30 malam tadi, turut disertai sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia Pahang dan penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali bersama anggota dan pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang nelayan dikhuatiri lemas di Pantai Sungai Ular, Kuantan.

Namun tinjauan MalaysiaGazette mendapati usaha mencari diteruskan dengan melakukan rondaan pantai pada waktu malam dan operasi akan disambung pagi ini bersama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

“Mangsa dilihat telah membawa bot dia yang digunakan untuk membawa ikan, dari darat ke kawasan tengah laut kira-kira 100 hingga 150 meter dari pantai.

“Tujuan diletakkan bot di tengah laut kerana akan memudahkan mangsa melakukan aktiviti menangkap ikan pada esok pagi yang dijangka airnya surut.

“Mana-mana penduduk yang ingin terlibat dalam operasi mencari perlu memaklumkan petugas kerana tidak mahu atur gerak ini bergerak secara persendirian.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette semasa tinjauan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran Sanctuary Resort, turut menasihati orang awam ekoran kejadian lemas kerap berlaku di sini.

“Nasihat ini kerana lebih kurang tempat yang sama di Pantai Sungai Ular baru sahaja berlaku kejadian tiga lemas dan satu berjaya diselamatkan.

“Jangan pandang ringan aspek keselamatan, ambil langkah guna jaket keselamatan sebagai langkah kesiapsiagaan meskipun jika sudah biasa bermain air.

Manakala abang kedua mangsa, Roseli Rameli berkata, mangsa memang mempunyai berkemahiran berenang dan mencari rezeki dengan menangkap ikan bersama-samanya.

Semasa kejadian Roseli ada di darat menantikan kemunculan mangsa namun kelibatnya tidak muncul tiba.

“Dalam masa 10 minit dia pergi semula ke bot dan Shahrudin sudah tiada.” – MalaysiaGazette.