KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia belum lagi menerima sebarang laporan berhubung kehadiran ejen perisik Korea Utara yang didakwa masih berada di negara ini.
“Setakat hari ini, kita belum dapat laporan tentang perkara ini daripada (pasukan) risik kita dan sebagainya.
“Kadang-kala mereka mungkin gempar sahaja. Kita tidak tahu. Jadi, kita jangan melompat terlalu cepat dan memberi jawapan yang mungkin boleh mengerushkan lagi suasana,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4X4 (HMAV 4X4) Pertama Malaysia di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
Beliau ditanya wartawan mengenai laporan media Korea Utara yang menyebut ejen perisik Korea Utara masih berada di sini dan menjadikan Malaysia sebagai tempat penyeludupan barang dan senjata mewah.
Laporan itu menyebut, ratus-ratus pekerja yang dikaitkan dengan Jawatankuasa Pusat Korea Utara dan ejen rahsia dari Jabatan Industri Senjata Api (MID) masih berada di Malaysia.
Laporan itu mendakwa kumpulan itu menyeludup barang mewah ke Korea Utara sementara MID terlibat dengan penyeludupan senjata.
Ejen perisik dan pekerja perdagangan didakwa mengadu misi mereka menjadi lebih sukar setelah kedutaan Korea Utara di sini ditutup, kata sumber yang dipetik oleh media tersebut.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, perkara itu mungkin boleh diperincikan oleh pihak Kementerian Luar kerana pada masa ini sebarang perbincangan mengenainya tidak melibatkan Kementerian Pertahanan.
Baru-baru ini Putrajaya mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara susulan langkah Pyongyang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Tindakan Pyongyang itu susulan seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Wisma Putra memaklumkan, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini. – MalaysiaGazette