Home Nasional Produk tempatan diberi keutamaan dalam perolehan ketenteraan

Produk tempatan diberi keutamaan dalam perolehan ketenteraan

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang bergambar menaiki Tarantula pada Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4x4 Pertama Malaysia di Wisma Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Produk ketenteraan buatan tempatan akan diberi keutamaan untuk perolehan kontrak kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dapat mengelakkan negara ini daripada terlalu bergantung kepada pihak luar untuk kelengapan ketenteraan.

“Kementerian akan memberi keutamaan dan fokus kepada industri (penghasilan aset-aset kententeraan) supaya negara tidak perlu bergantung kepada kepada negara luar dalam hal-hal ketenteraan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penamaan rasmi Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4X4 Tarantula di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Tarantula sebelum ini diuji melalui pelbagai penilaian seperti ketahanan di lebuh raya, penggunaan minyak, ujian muatan, kecekapan penggunaan takal, pemasangan, pembukaan, ujian mendaki dan menuruni cerun, serta penggunaan brek termasuk ujian fording.

Katanya, ujian tersebut dijalankan selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700km di atas jalan raya dan 300km secara off-road, termasuk beberapa ujian berhalangan yang lain.

Tambah beliau, saringan uji nilai terhadap Tarantula HMAV 4X4 dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride).

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif  Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef), Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata, perkataan Tarantula berasal daripada sejenis spesies labah-labah berbulu dan bertaring yang berupaya membunuh haiwan lebih besar daripadanya.

Serangga beracun tersebut, kata beliau, boleh ditemui di kawasan tropika dan padang pasir di seluruh dunia.

Menurutnya lagi, tempoh pengkajian dan pembangunan Tarantula HMAV 4X4 mengambil masa empat tahun dan menelan belanja sebanyak RM16 juta, melibatkan tenaga 140 anak tempatan.

“Keunikan Tarantula ini direka cipta mengikut kesesuaian iklim dan kelembapan cuaca negara kita, mengikut acuan kita. Ia tidak seperti kenderaan ketenteraan yang dihasilkan oleh negara-negara lain yang iklimnya tidak sama seperti negara kita.

“Buat masa ini kita hanya ada dua unit saja. Namun, setiap tahun Mildef berkapasiti untuk mengeluarkan sebanyak 40 buah Tarantula HMAV 4X4,” jelasnya.

Tarantula HMAV 4×4 dilengkapi dengan perisai bahagian bawah Tahap 2B Stanag 4569 dan perlindungan perisai badan Tahap 2B Stanag 4569 untuk melindungi penumpangnya.

Selain itu, kenderaan perisai tersebut turut dipasang dengan sistem persenjataan moden seperti pelancar bom dan Stesen Kawalan Jauh Senjata (RCWS) yang membolehkan ia menembak sejauh 360 darjah tanpa perlu berhenti daripada bergerak.

Untuk memastikan kadar mobiliti yang tinggi, jentera berkenaan mempunyai enjin diesel Caterpillar dengan kadar kuasa 24hp/1tan. – MalaysiaGazette