Home Nasional Vaksin AstraZeneca dapat kelulusan pendaftaran bersyarat – Dr Noor Hisham

Vaksin AstraZeneca dapat kelulusan pendaftaran bersyarat – Dr Noor Hisham

Vaksin AstraZeneca . foto agensi

KUALA LUPUR – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat untuk kegunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.

Kelulusan itu dicapai dalam mesyuarat PBKD kali ke-355 yang bersidang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau dan menilai data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat ke atas risiko vaksin ini kekal positif.

Menurutnya, pendaftaran vaksin Covid-19 yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kelulusan EUL bagi vaksin keluaran AstraZeneca-SK Bioscience telah diumumkan oleh WHO pada 15 Februari 2021.

Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD, ujarnya.

Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Dr Noor Hisham. – MalaysiaGazette