Home Ekonomi Transaksi tanpa tunai di Puspakom mulai 5 April

Transaksi tanpa tunai di Puspakom mulai 5 April

Puspakom akan melaksanakan urus niaga tanpa tunai secara berperingkat-peringkat.

KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) akan memperkenalkan urus niaga pembayaran tanpa tunai, serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit dan tanpa kertas di pusat-pusat pemeriksaannya.

Pelaksanaan urus niaga digital ini jalankan secara berperingkat mulai 5 April 2021 di pusat-pusat pemeriksaan Puspakom di Wilayah Tengah sebelum diperluaskan ke pusat-pusat pemeriksaannya di seluruh negara.

Ia merupakan inisiatif Puspakom bagi menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan mesra alam di kaunter-kaunter, juga memudahkan pelanggan membuat pembayaran untuk pemeriksaan tanpa membawa tunai, di samping mengurangkan penggunaan bahan kertas bagi mencetak resit serta laporan pemeriksaan.

Di peringkat awal, pelaksanaan program tanpa tunai dan tanpa kertas akan bermula di pusat pemeriksaan di Wilayah Tengah.

Ini akan disusuli pada 5 Mei depan di Wilayah Utara, 5 Jun untuk Wilayah Selatan, 5 Julai bagi Wilayah Timur dan akhir sekali pada 5 Ogos di Sabah dan Sarawak.

Puspakom mensasarkan semua urusan secara tunai serta cetakan resit dan laporan pemeriksaan akan ditamatkan menjelang bulan Oktober tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail berkata, sistem ini amat sesuai ketika norma baharu yang dilalui ketika ini.

”Pembayaran digital semakin meningkat di Malaysia, terutamanya ketika penularan pandemik Covid-19. Jadi, perlaksanaan ‘Tanpa Tunai, Tanpa Kertas’ amatlah bertepatan,” katanya.

Shukor menjelaskan semua transaksi akan direkod dan disimpan di pengkalan datanya, sekali gus meningkatkan ketelusan dan integriti Puspakom di mata masyarakat.

Data ini juga membolehkan pengguna memantau aktiviti kewangan dan transaksi yang berkaitan pemeriksaan kenderaan mereka di Puspakom.

Pelaksanaan urusniaga secara digital ini merupakan lanjutan sistem MyPUSPAKOM yang mula diperkenalkan pada tahun 2017.

MyPUSPAKOM merupakan platform menetapkan temujanji pemeriksaan dan pembayaran secara dalam talian melalui FPX, kad debit, kad kredit dan e-dompet.

Selain kad debit dan kad kredit, e-dompet yang akan diterima oleh PUSPAKOM termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay. – MalaysiaGazette