KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa berundur dari jawatannya jika mahu menteri-menteri UMNO meletak jawatan atas dasar kepentingan parti.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang berkata, Ahmad Zahid perlu menunjukkan teladan walk the talk terlebih dahulu sebelum mencabar mana-mana menteri parti itu meletakkan jawatan dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).
“Jangan sentiasa mendongak ke langit, pandang-pandanglah ke bawah. UMNO perlu bangkit dengan kepimpinan yang baharu dan segar.
“Tidak perlu letak jawatan, tetapi berundurlah dengan secara terhormat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Helmi berkata, parti itu perlu dirawat segera demi survival UMNO.
“Merawat dan mengubati lebih baik daripada menyokong dan akhirnya sokongan itu membawa rebah. Pentingkan parti, yakinlah masih ramai lagi pejuang-pejuang UMNO yang akan memperjuangkan parti ini.
“Ramai ahli UMNO dan rakyat khususnya orang-orang Melayu masih mahu bergantung harap kepada parti ini yang sentiasa memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air ini di samping menjaga kepentingan rakyat Malaysia berbilang kaum,” katanya.
Mohd. Helmi mengulas ucapan penggulungan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 202 yang mencabar menteri UMNO untuk segera meletak jawatan dalam Kabinet.
Ahmad Zahid berkata, amaran itu diberikan berikutan sikap mereka yang diibaratkan seperti ‘menikam daripada belakang’.
Pada Isnin lalu, beberapa menteri UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam Kabinet.
Muhyiddin bagaimanapun menasihat mereka agar kekal dalam Kabinet demi kepentingan rakyat.
Semalam, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PAU2020 baru-baru ini tidak membuat arahan khusus untuk sembilan menteri UMNO meletakkan jawatan.
Situasi itu menimbulkan kemelut baharu dalam UMNO apabila timbul percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpinnya termasuk desakan diadakan pemilihan parti dengan segera oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bagi menyelesaikan kemelut tersebut. – MalaysiaGazette
Sekarang umno ada dua pilihan. Lantik orang baru atau pakai orang lama. Inilah pilihan diantara hidup dan mati. umno masa depan
Umno butuh wak indon gampang bisa otoritas korupsi dong.