KUALA LUMPUR – Ribut petir dengan hujan lebat berserta angin kencang dijangka melanda kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak susulan fasa peralihan monsun sejak 16 Mac lepas.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh April hingga September 2021 yang dikeluarkan Pusat Iklim Nasional, fasa peralihan dari Monsun Timur Laut dijangka berterusan hingga pertengahan Mei.
“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang pada waktu petang dan awal malam dalam jangka masa singkat.
Keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur tidak kukuh,” demikian menurut kenyataan MetMalaysia yang memetik laporan tinjauan cuaca berkenaan.
Laporan tinjauan sama juga memaklumkan, keadaan cuaca negara dijangka dipengaruhi fasa Monsun Barat Daya bermula pertengahan Mei hingga September yang bakal menyaksikan ribut petir dan hujan lebat berkurangan selain kebanyakan negeri mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.
“Namun dalam tempoh Monsun Barat Daya, boleh berlaku hujan pada sebelah pagi terutama di sebelah pantai barat Semenanjung,” menurut kenyataan itu.
MetMalaysia akan sentiasa mengemas kini tinjauan cuaca sekiranya berlaku sebarang perubahan ketara dan tinjauan itu boleh diakses menerusi laman sesawang www.met.gov.my/iklim/ramalanbermusim/tinjauancuacajangkapanjang. – Bernama