Home Politik Bersatu tak pernah beri kata dua kepada Pas

Bersatu tak pernah beri kata dua kepada Pas

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berjalan keluar selepas pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah memberi kata dua atau memaksa Pas untuk memilih Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) dalam menjalin apa-apa kerjasama politik.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, sikap sedemikian tidak pernah diamalkan dan parti amat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Pas.

“Kami dalam Bersatu amat menghargai semangat persahabatan yang ditunjukkan oleh Pas dan kebetulan dulu saya juga ahli Pas, bukan hendak bersikap ‘bias’ tapi saya amat gembira dengan pandangan yang disuarakan oleh parti itu lebih-lebih lagi keterbukaan mereka dan kesungguhan untuk bersama-sama dalam PN.

“Ini kerana dalam PN tiada konsep abang besar, masing-masing semua parti dianggap sama rata.

“Nak kata Bersatu bagi kata dua ke apa itu bukan sikap kita, bagi kita PN perlu diperkukuhkan malah tadi dalam mesyuarat pun disebut banyak lagi parti-parti yang minta untuk sertai PN dan ada proses rundingan perlu dilakukan. Semua itu kita tunggu sampai pengumuman sebenar nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini hari ini.

Mesyuarat MPT yang bermula pada pukul 3 petang dan berakhir tiga jam kemudian itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Naib Presiden, Datuk Radzi Jidin dan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hadir sama, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun serta ahli MPT termasuk Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO meminta Pas menyatakan pendirian jelas sama ada parti itu mahu bersama MN atau PN.

Sementara Pas tegas dengan pendirian mereka untuk terus memperkukuhkan MN dan mempertahankan MN. – MalaysiaGazette

+ posts