Home Nasional Bayaran cukai jalan fleksibel kepada pemandu berhemah

Bayaran cukai jalan fleksibel kepada pemandu berhemah

Liow Tiong Lai

PUTRAJAYA – Kerajaan merancang untuk memperkenalkan bayaran cukai jalan fleksibel untuk memberi insentif kepada pemandu berhemah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara tersebut masih dalam pertimbangan dan ia tercetus susulan daripada liberalisasi insuran kenderaan baru-baru ini.

“Kerajaan boleh mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan bayaran cukai jalan fleksibel.

“Sekiranya  kereta tersebut selamat dan pemandunya tidak mempunyai masalah, mungkin cukai jalannya boleh dikurangkan,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian di antara Atilize Digital Sdn. Bhd. dengan U Mobile Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada tempoh masa diberikan untuk menyiapkan kajian serta melaksanakannya.

Dalam pada itu, beliau gembira dengan penurunan kadar kematian sebanyak 14 peratus semasa musim perayaan yang lalu.

Jumlah kematian merosot kepada 257 orang berbanding 299 tahun lalu.

Namun begitu menurut Tiong Lai, angka tersebut masih tinggi dan perlu dikurangkan lagi.- MalaysiaGazette