Home Nasional Jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah

Jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim.

KOTA BHARU – Langkah-langkah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah akan diteruskan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa khas tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa yang dianggotai oleh semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin politik akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata, usaha tersebut amat penting bagi mengharmonikan kedudhkan Islam sebagai agama rasmi negara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita mahu kepentingan Islam terus terjaga tanpa menjejaskan hak serta kedudukan masyarakat bukan Islam.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
akan bertanggungjawab untuk menyelia penubuhan jawatankuasa khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Langkah ini dilihat selari dengan tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka.

Perkara penting lain yang turut terkan­dung dalam pindaan enakmen tersebut ia­lah membenarkan vi­deo digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Enakmen tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat perkenan Sultan Kelantan dan diwartakan.

Ia juga merupakan sebahagian daripada persedian negeri itu untuk melakaanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) selepas RUU Akta Mahkamah Syariah dipinda di Parlimen. – MalaysiaGazette