Home Utama Polis Johor ‘rentas negeri’ buru Datuk Seri Nicky bersebab…

Polis Johor ‘rentas negeri’ buru Datuk Seri Nicky bersebab…

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua kiri) menunjukkan gambar kereta yang dirampas pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Johor ‘merentas negeri’ dan mengetuai siasatan ke atas pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang berpusat di Selangor disebabkan terdapat laporan mengenai penipuan yang berkaitan dengan lelaki itu telah dibuat di negeri berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan berharap ini dapat menjawab ‘tanda tanya’ orang ramai termasuk di kalangan mereka di dalam polis sendiri mengenai tindakan para pegawai dan anggota kontinjennya memburu Nicky dan ahli-ahli kumpulannya yang beroperasi di Puchong itu.

Menurut Ayob, segala-galanya tentang kes ini bermula pada tahun 2019 apabila pihak siasatan jenayah komersil negeri membuka satu kertas siasatan penipuan jual beli dalam talian.

Kes itu, kata Ayob, pada asalnya cuma kes kecil melibatkan sebuah telefon bimbit yang nilai kerugian lebih kurang seribu lebih ringgit sahaja.

Namun menurut Ayob, di Johor beliau memang meminta satu-satu siasatan dilakukan lebih teliti, lapisan demi lapisan, dan dalam kes ini seorang pegawai penyiasat mudanya bernama ASP Prakash telah melakukan siasatan yang sangat terperinci.

Tambah Ayob, daripada hasil siasatan tadi, pihaknya berjaya mengesan duit dari aktiviti penipuan itu masuk ke akaun syarikat yang ada kaitan dengan Nicky.

“Rupanya banyak pihak yang memantau Nicky sebelum ini tetapi tak banyak tindakan yang diambil jadi saya melihat ini sebagai satu peluang besar untuk kami mengambil tindakan, sebab itu saya datang berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Apabila saya menerangkan yang kes ini ada kaitan dengan kertas siasatan yang kita buka di Johor dan kes ini juga besar, jadi beliau minta Polis Johor untuk mengetuainya.

“Untuk itu buat julung kalinya dalam siasatan jenayah komersil ini, Polis Johor bertindak menggunakan prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pertuduhan di bawah jenayah terancang, sebab itu kita berjaya menangkap keseluruhan mereka yang terlibat walaupun Nicky masih belum diberkas,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara eksklusif dalam program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini kelmarin.

Baru-baru ini Abdul Hamid mengumumkan dua individu berpangkat Datuk Seri termasuk adik kepada Nicky dan enam berpangkat Datuk antara 68 individu yang ditahan kerana terlibat dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru.

Pihak polis juga telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.

Mengenai dakwaan pelbagai pihak yang mendakwa Nicky mempunyai hubungan rapat dengan para pemimpin masyarakat, ahli politik dan VVIP di negara ini, Ayob berkata, ‘bergambar’ dengan seseorang kenamaan belum cukup untuk mengatakan lelaki itu ada kaitan dengan ‘seseorang’.

“Mengenai Nicky ini, dia suka ‘menempel’ atau ‘menyelit’ dengan seseorang VVIP bila bergambar, saya boleh sahkan ada seorang Datuk Seri yang akan bertindak sebagai ‘PR’ dan akan mengatur lelaki ini bergambar dengan para VVIP di majlis-majlis tertentu.

“Namun kita tak boleh guna benda itu untuk menuduh seseorang, kita akan siasat dulu.

“Yang pasti orang macam Nicky ini akan menggambarkan dirinya sebagai seorang yang banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan dan sebagainya agar kita ‘serba salah’ untuk mengambil tindakan.

“Saya nak bagitahu itu semua bukan ukuran, kita akan mengambil tindakan bila seseorang itu terlibat dalam jenayah tanpa mengira siapa pun orangnya,” ujarnya lagi, – Malaysia Gazette