Home Eksklusif Kanak-kanak melecur seluruh badan didera ibu tiri

Kanak-kanak melecur seluruh badan didera ibu tiri

Gambar mangsa patah tangan akibat didera ibu tirinya pada tahun 2018.

KULIM – Seorang kanak-kanak perempuan melecur seluruh badan akibat menjadi mangsa dera ibu tirinya.

Mangsa berusia 8 tahun yang dimasukkan ke Hospital Kulim pada Sabtu lalu dilaporkan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan teruk disimbah air panas oleh wanita itu.

Ibu saudara mangsa, Abidah Ismail,24, berkata, mereka sekeluarga yang menetap di ibu kota bergegas ke Kulim selepas menerima panggilan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung kejadian yang menimpa mangsa.

Katanya, kejadian yang menimpa mangsa dilaporkan pegawai perubatan selepas dia dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan dengan alasan secara tidak sengaja terkena air panas.

“Kami difahamkan pihak doktor tidak percaya dengan penjelasan ayahnya memandangkan keadaan mangsa teruk sebelum membuat laporan.

“Bagaimanapun, perbuatan ibu tirinya terbongkar selepas mangsa membuat pengakuan di hadapan kami sekeluarga serta JKM bahawa dirinya didera,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Abidah, mangsa menjadi tempat ibu tirinya melepaskan geram sekiranya bertengkar dengan suami berkaitan isu kewangan, malah ini bukan kali pertama anak saudaranya menjadi mangsa dera wanita itu.

Jelasnya, mangsa pernah dilaporkan patah tangan pada tahun 2018 akibat didera dan laporan polis berkaitan kes tersebut juga dibuat di Segamat, Johor.

“Kami minta hak penjagaan anak kerana tahu mangsa kerap didera malah kakak saya sanggup menjadikan kanak-kanak ini sebagai anak angkat selepas dia dilaporkan patah tangan namun semuanya tidak dibenarkan JKM dengan alasan ayah kandung mangsa menuntut hak penjagaan.

“Bukan kami nak pertikai hak penjagaan ayah kandung tetapi penderaan sudah kerap berlaku hingga terbaru hampir meragut nyawa mangsa berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

“Saya dan keluarga harap penjagaan kali ini diberikan kepada kami termasuk membenarkan mangsa menerima rawatan di hospital di ibu kota memandangkan kesemua ahli keluarga terdekat kami menetap di sana dan agak sukar untuk ulang-alik ke Kulim,” ujar Abidah.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette