KLUANG – Ibu bapa murid sekolah agama yang ‘menumpang’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Tun Dr Ismail di Simpang Renggam dekat sini mendakwa anak mereka tidak dapat meneruskan sesi persekolahan agama sejak lebih setahun lalu.
Justeru rata-ratanya mendesak campur tangan kerajaan negeri membantu menyelesaian masalah yang dihadapi.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (SK) Ladang Tun Dr Ismail, Siti Hairunafiah Mohd Salleh berkata, pihaknya bimbang dengan masa depan 12 anak-anak mereka yang tercicir dalam pendidikan agama Islam.
Menurutnya, kesemua murid itu tercicir dalam pendidikan agama Islam sejak lebih setahun lalu selepas khidmat seorang ustazah yang mengajar mereka ditarik balik.
“Ustazah berkenaan sebelum ini terpaksa berulang-alik kira-kira 15 kilometer setiap hari dari Sekolah Agama (SA) Seri Tengah Renggam ke SK Ladang Tun Dr Ismail.
“Kami juga simpati dan terharu dengan pengorbanan ustazah berkenaan kerana setiap hari, dia datang mengajar murid tahun satu hingga tiga daripada jam 2 hingga jam 3.30 petang dan selepas itu bergegas membawa enam murid tahun empat, lima dan enam ke SA Seri Tengah untuk belajar di sana.
“Tamat belajar, ustazah berkenaan berpatah balik menghantar enam murid berkenaan di pos masuk ke Ladang Tun Dr Ismail sebelum pulang ke rumahnya,” katanya.
Seorang bapa, Hardi Abd Kadir, 39, pula berkata, sejak lebih setahun lalu, ustazah berkenaan diminta kekal mengajar di SA Seri Tengah sekali gus menyebabkan 12 murid yang menumpang belajar di SK Ladang Tun Dr Ismail tercicir dalam pelajaran.
“Kami sudah mengajukan masalah ini kepada pihak berkuasa namun tidak mendapat penyelesaian memuaskan. Kami sudah membuat aduan termasuk menghantar surat sokongan daripada pihak berkaitan namun hal ini masih tidak selesai.
“Kami sebagai ibu bapa sedih dengan keadaan ini kerana kami bukannya orang senang yang boleh mengupah pemandu mengambil anak-anak di SK Tun Dr Ismail untuk belajar di SA Seri Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi berkata, pihaknya akan berhubung dengan jabatan kerajaan berkaitan kes berkenaan.
“Kita tidak mahu 12 murid ini terus keciciran dalam mata pelajaran apatah lagi dalam pendidikan agama Islam dan hal ini tidak wajar berlaku.
“Kita akan berusaha dengan ibu bapa dan pihak berkaitan bagi membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.- MalaysiaGazette