TAIPEI – Seorang pengurus tapak pembinaan memohon maaf dan melahirkan rasa kesal dengan kemalangan keretapi yang meragut 48 nyawa berhampiran bandar Hualien, Taiwan baru-baru ini.
Nahas itu berlaku apabila lori yang diparkir Lee Yi-hsiang, 49, di tepi benteng bukit tergelincir lalu terjatuh ke landasan keretapi.
Keretapi yang kebetulan sedang melalui landasan tersebut merempuh lori berkenaan menyebabkan gerabak lain yang masih berada dalam terowong utara Hualien tergelincir.
Lebih 200 orang penumpang dilaporkan cedera akibat kejadian tersebut.
Penyiasat mendakwa rakaman kamera litar tertutup dari kereta menunjukkan pemandu kereta api hanya mempunyai 6.9 saat untuk bertindak balas dan kereta api hanya berjarak 250 meter (820 kaki) dari trak – tidak cukup waktu atau jarak untuk pemandu berhenti dan mengelak perlanggaran.
Siasatan sedang mengenal pasti sama ada Lee gagal mengatur brek kecemasan atau adakah kerosakan mekanikal di dalam kenderaannya.
Dia telah disoal siasat dan dibebaskan dengan jaminan tetapi pada hari Ahad lalu dia ditahan semula.
Dalam kenyataan yang dibacakan di luar rumahnya, Lee berkata, dia akan memberi kerjasama dengan penyiasat dan bertanggungjawab sepenuhnya.
Semasa kejadian, keretapi dengan lapan gerabak yang penuh dengan penumpang itu dalam perjalanan dari Taipei ke Taitung kerana orang ramai menghabiskan cuti yang panjang.
Kira-kira 500 orang berada dalam keretapi tersebut. – MalaysiaGazette