Home Politik Tiada lagi kesetiaan membuta tuli, kata Saravanan

Tiada lagi kesetiaan membuta tuli, kata Saravanan

M. Saravanan

SHAH ALAM – MIC tidak akan mengamalkan kesetiaan secara membuta tuli kepada mana-mana pihak bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, MIC tidak boleh lagi menerima kekalahan sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada tahun 2018 hanya kerana mendengar aspirasi akar umbi semata-mata.

“Kita tiada lagi kesetiaan membuta tuli, kita tak rugi apa-apa, kita tak mampu kehilangan satu kerusi Parlimen yang kita ada. Jika seluruh masyarakat India tarik sokongan, ia akan beri kelebihan kepada pihak lain (terima sokongan),” katanya.

Terdahulu Saravanan merasmikan Program Malaysia Prihatin dan Majlis Penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) Zon Tengah (Selangor & Wilayah Persekutuan) di sini.

Pada Sabtu lalu, MIC mengumumkan akan terus menyokong dan kekal bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi BN.

Mengulas pendirian terbaru MIC itu, Saravanan menjelaskan sekiranya parti itu senada dengan pendirian UMNO untuk memutuskan hubungan dengan PN, beliau sendiri akan meletakkan jawatan serta-merta.

“Saya tak boleh cakap tak nak kerjasama dengan PN tetapi duduk dalam kementerian PN, tak masuk akal. Sebab itu MIC buat pendirian kita sokong kerajaan PN dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab kita masih duduk dalam PN.

“Kalau MIC buat ketetapan kita tak nak sokong, kita akan terus letak jawatan, itulah patut jadi moral,” katanya.

Ditanya tentang pendirian MIC itu sehingga Parlimen dibubarkan selepas Ogos ini, Saravanan berkata, ia tertakluk kepada keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi BN dalam masa terdekat.

“Itu tak tahu, itu pendirian MIC sehingga BN buat keputusan,” katanya.

Ketika ditanya tentang keputusan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO dijangka meletakkan jawatan selepas Ogos ini, beliau berkata, MIC perlu mengambil kira semua aspek sebelum berbuat demikian.

“Kita kena mengkaji secara mendalam. Pada 2018 kita memilih calon dan menentukan segala-galanya ikut aspirasi ahli parti di peringkat akar umbi. Akhirnya kita kalah pada 2018 sebab  aspirasi rakyat berlainan.

“Kalau kita nak jadi pemimpin yang betul-betul nak membela nasib rakyat dan parti, kita kena ambil kira kedua-duanya aspirasi parti dan aspirasi rakyat.

“Kita bersyukur kepada Tuhan kerana beri peluang kedua, jangan ulang kesilapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette