KUALA LUMPUR- Golongan kumpulan utama bagi fasa dua vaksinasi akan mendapat notifikasi di aplikasi MySejahtera mulai esok.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia akan diberikan khususnya kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik serta orang kelainan upaya (OKU).
Setakat hari ini jumlah pendaftaran untuk fasa kedua bagi kumpulan yang layak adalah sebanyak 2,344,621 orang.
“Daripada jumlah tersebut warga emas yang telah pun berdaftar adalah seramai 1,229,855, bagi golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi yang telah mendaftar adalah seramai 1,741,935, manakala golongan OKU seramai 115,249 orang.
“Suntikan akan diterima pada 19 April ini. Negeri-negeri yang akan mula fasa 2 ini adalah Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu serta Labuan manakala negeri-negeri lain akan mula pada 22 dan 26 April ini.
“Kelewatan pemberian vaksin pada negeri lain adalah untuk memberi penyediaan di kawasan lapangan mengendalikan vaksinasi bagi fasa dua,” ujarnya ketika sidang media Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.
Selain itu, Khairy juga memaklumkanĀ temujanji yang disediakan untuk golongan fasa dua akan menerima notifikasi sekurang-kurangnya 14 hari tarikh sebelum temujanji di aplikasi MySejahtera.
Jelasnya, kepada penerima vaksin, peringatan pertama akan diberikan tiga hari sebelum temujanji manakala peringatan kedua pada sehari sebelum temujanji melalui sistem pesanan ringkas dan panggilan daripada pusat panggilan.
“Kehadiran adalah diwajibkan kerana kami telah melakukan satu perancangan yang rapi untuk menghantar vaksin pada setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan kami berharap orang ramai akan hadir pada masa, hari dan tempat temujanji yang telah ditetapkan.
“Namun, orang ramai diberi pilihan untuk setuju hadir atau tidak hadir. Jika mereka pilih hadir kami akan anggap mereka akan hadir kerana vaksin yang sudah dikeluarkan dari peti sejuk tidak boleh lagi digunakan,” tegasnya.
Untuk rekod, jumlah pendaftaran vaksinasi sehingga hari ini adalah sebanyak 7,906,913. Sebanyak 310,773 bilangan dos yang telah diterima, daripada bilangan tersebut sekurang-kurang penerima bagi satu dos adalah sebanyak 14,036, manakala bagi yang telah lengkap dua dos adalah sebanyak 287,737. -MalaysiaGazette