Home Ekonomi Nilai hartanah menguncup 15.8 peratus akibat Covid-19 – Tengku Zafrul

Nilai hartanah menguncup 15.8 peratus akibat Covid-19 – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2020 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2021.

KAJANG – Pandemik Covid-19 yang melanda negara penghujung Februari tahun lalu mengakibatkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi menguncup.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pada tahun lalu sahaja, transaksi pasaran hartanah didapati menguncup sebanyak 9.9 peratus daripada segi jumlah dan 15.8 peratus daripada segi nilai.

“Pada tahun 2020, hampir 296, 968 transaksi bernilai RM119 bilion telah direkodkan. Berbanding tahun 2019, jumlah dan nilai transaksi tersebut masing-masing telah menguncup antara 9.9 sehingga 15.8 peratus.

“Penurunan itu dijadikan dengan bilangan transaksi yang terjejas bagi pelbagai subsektor yang mencatatkan penguncupan antara 2.6 peratus hingga 24 peratus. Dari segi nilai, hanya sub sektor pertanian mencatatkan peningkatan marginal pada 0.6 peratus manakala subsektor yang lain mengucup antara 9 hingga 34 peratus,” katanya ketika ucapan melancarkan Laporan Pasaran Harta 2020 di Institut Penilaian Negara hari ini.

Penguncupan itu juga disebabkan dengan bilangan dan nilai transaksi yang menurun di empat kawasan dan negeri aitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Sebagai contoh, katanya, sub sektor kediaman menurun 8.6 peratus kepada 191,350 melibatkan 9.0 peratus penurunan dalam nilai iaitu RM65.87 bilion berbanding tahun 2019.

“Selain itu segmen pelancaran kediaman baharu pun terjejas. Antara sebab utama termasuklah penangguhan pelancaran oleh pemaju, di mana mereka lebih menjadi tumpuan kepada menjual inventori sedia ada.

“Sepanjang tahun yang lalu hanya sekitar 47,178 unit dilancarkan berbanding 60,000 unit pada tahun 2019. Prestasi penjualan juga lebih rendah dimana hanya 28.7 peratus unit dijual berbanding 40.7 peratus pada 2019,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata, bila unit kediaman tidak terjual bagi perumahan yang siap dibina mencatat peningkatan sebanyak 0.5 peratus.

“Setakat hujung tahun 2020, terdapat 29,565 tidak terjual dengan nilai hampir RM19 bilion,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul yakin sektor harta tanah negara dijangka akan pulih selari dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara 6 hingga 7.5 peratus tahun ini. – MalaysiaGazette