Home Nasional 2,969 calon ambil SPM sesi kedua mulai esok

2,969 calon ambil SPM sesi kedua mulai esok

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi kedua 2020 akan dilaksanakan mulai esok sehingga 23 April ini.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi kedua 2020 akan dilaksanakan mulai esok sehingga 23 April ini.

Peperiksaan awam sesi kedua itu diadakan khusus untuk calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

“Ada calon SPM yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu dari Februari hingga Mac lalu kerana disahkan positif Covid-19 atau perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Oleh demikian mulai pagi esok, seramai 2,969 calon akan menduduki peperiksaan SPM 2020 sesi kedua ini di sebanyak 197 pusat peperiksaan di seluruh negara,” kata Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.

Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan kesemua calon terlibat dengan peperiksaan SPM 2020 sesi supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan SPM 2020 sesi kedua boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/0.

“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan penyataan pendaftaran peperiksaan.

“Calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard  yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan mencegah penularan wabak Covid-19.- MalaysiaGazette