Home Nasional Henti sebarkan aib adik saya, hormati perasaan kami – Mohd Redzuan

Henti sebarkan aib adik saya, hormati perasaan kami – Mohd Redzuan

Lokasi kejiadian melibatkan seorang pengamal perubatan ditemui mati disyaki ditembak di sebuah rumah di Bukit Rangin Perdana 2, Kuantan, Pahang yang masih dalam pengawasan polis hari ini.

KUANTAN – Keluarga pengamal perubatan tradisional yang mati disyaki ditembak merayu orang ramai supaya berhenti menyebarkan pelbagai spekulasi di media sosial.

Abang arwah, Mohd Redzuan Nasir, 37,  kesal apa yang ditularkan oleh warganet ekoran kematian adiknya malam Ahad lalu.

Menurutnya, pihak keluarga menyerahkan siasatan kes tersebut kepada polis dan berharap pembunuh Mohamad Abdul Rahim ditangkap secepat mungkin.

“Minta tolong hentikan sebaran gambar atau video sebab keluarga kami tengah bersedih, tengok pula ada orang sebarkan macam-macam.

“Ia melibatkan aib orang yang sudah pergi, biarlah pergi. Yang hidup ini kita perlu doakan yang terbaik. Kita tidak berhak menilai sesiapa pun mahupun kehidupannya, semuanya terserah pada Allah,” katanya ketika ditemui di Bukit Rangin Perdana 2 di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan fotonya diambil.

Mohd Redzuan juga berharap orang ramai menjaga perasaan ibu dan ayahnya.

“Kami perlu menjaga hati ibu yang sudah tua, ayah pula sakit. Jadi minta semua pihak menghormati keadaan yang terjadi,” katanya.

Terdahulu, polis tidak menolak sebarang kemungkinan angkara motif dendam sehingga membawa kematian Mohamad Abdul Rahim.

Abdul Rahim ditemui mati terbaring oleh abangnya di rumah sewa ibunya dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan  tembakan di badan mangsa.

Mangsa tinggal di tempat kejadian bersama ibunya yang berusia 60 tahun dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional sejak setahun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bomoh ditemui mati dengan kesan tembakan