Home Ekonomi KPDNHEP tawar 2 geran tarik lebih ramai ceburi perniagaan francais

KPDNHEP tawar 2 geran tarik lebih ramai ceburi perniagaan francais

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyerahkan plat Francais Malaysia kepada Pengarah Revenue Valley, Deric Yeo pada Program Francais Mikro dan Mampu Milik di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menawarkan dua jenis geran bagi menarik lebih ramai penglibatan golongan B40 dan M40 menceburi bidang perniagaan francais.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program tersebut merupakan inisiatif yang diumumkan melalui Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Menurut beliau, kedua-dua geran yang disediakan untuk pakej francais mikro/mampu milik iaitu geran penuh dan geran pemudah cara (geran padanan).

“Geran penuh ini ditawarkan kepada francaisor bagi tujuan penyediaan pakej permulaan perniagaan francais mikro dan mampu milik dengan pembiayaan merangkumi RM20,000 bagi kajian pasaran serta jumlah terkumpul tidak melebihi RM100,000 bagi membangunkan prototaip pakej.

“Manakala geran pemudah cara boleh dinikmati bakal francaisi bertujuan mengurangkan kos permulaan perniagaan yang perlu ditanggung oleh usahawan B40 dan M40 dengan nisbah sehingga 90:10 untuk mereka yang berpotensi.

“Sebanyak RM2.5 juta peruntukkan disediakan dibawah geran pemudah cara ini dimana kementerian mensasarkan kejayaan seramai 30 usahawan sehingga hujung tahun ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, kementerian turut menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) selain kolaborasi bersama agensi-agensi lain.

Sebanyak 13 francaisor bekerjasama dengan kementerian menerusi program ini meliputi bidang peruncitan, makanan dan minuman, pakaian serta perkhidmatan, katanya.

“Antara francaisor berjenama besar seperti Manhattan Fish Market yang mengurangkan kos pakej permulaaan perniagaan francaisnya kepada RM100,000.

“Sebelum ini bidang perniagaan francais berada di luar tahap kemampuan lebih-lebih lagi jenama yang memang sudah terkenal, ada yang mencecah sehingga jutaan ringgit jadi program ini khusus untuk membantu golongan sasar.

“Para francaisor juga diseru untuk merebut peluang dan bantuan buat julung kali ini yang disediakan oleh kerajaan untuk membangunkan perniagaan konsep mikro dan mampu milik,” ujarnya. – MalaysiaGazette