Home Politik Makkal Sakti nafi BTN rasis

Makkal Sakti nafi BTN rasis

Tuduhan yang mendakwa Biro Tata Negara (BTN) bersifat rasis serta membazirkan dan menyalahgunakan dana awam adalah tidak benar, kata Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Makkal Sakti Malaysia dan Yayasan Sakti A. Manimaran.
KUALA LUMPUR – Tuduhan yang mendakwa Biro Tata Negara (BTN) bersifat rasis serta membazirkan dan menyalahgunakan dana awam adalah tidak benar, kata Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Makkal Sakti Malaysia dan Yayasan Sakti A. Manimaran.

Beliau berkata bertentangan dengan tuduhan Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kasthuri Patto baru-baru ini, BTN sebenarnya mewujudkan platform yang sangat kondusif dan strategik untuk melaksanakan program-program Pembina Bangsa dan Negara.

“Jika BTN bersifat ketidaksamarataan, maka kami tidak akan diberi peluang menjalankan program yang memfokuskan pada warga belia India.

“Tetapi, kami bukan sahaja diberi peluang malah segala kemudahan dan layanan baik diberikan terhadap kami untuk menjalankan program kami di beberapa kem BTN di beberapa negeri tanpa mengira bangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yayasan Sakti sebelum ini melaksanakan program belia India di beberapa Kem Bina Negara BTN termasuk Kem Bina Negara Kulim di Kedah, Kem Bina Negara Balik Pulau, Pulau Pinang; Kem Bina Negara Kuala Lipis, Pahang; Kem Bina Negara Alor Gajah, Melaka; dan Kem Bina Negara Ulu Kenas, Perak.

Berkongsi pengalamannya menganjurkan program Pembina Negara, iaitu program transformasi yang selaras dengan agenda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Manimaran berkata suasana kem kondusif serta kemudahan penginapan selesa menjamin keselamatan para peserta program.

“Justeru itu, saya amat berterima kasih kepada BTN kerana memberi kebenaran menggunakan Kem Bina Negara dengan penuh keyakinan dan kepercayaan tanpa mengira bangsa di samping mengutamakan kesejahteraan kaum dan keamanan rakyat Malaysia,” katanya.

Kasthuri yang juga Anggota Parlimen DAP Batu Kawan dilaporkan berkata Pakatan Harapan akan melepaskan BTN yang didakwanya bersifat apartheid, rasis dan regresif jika pakatan pembangkang itu diberi mandat pada pilihan raya umum akan datang.

— BERNAMA