JAWI – Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim menegaskan pihak polis masih menunggu baki 175 kereta peronda baru model Honda Civic 1.8 yang sepatutnya diterima pada tahun lepas.
Beliau berkata, 175 buah kereta itu merupakan penggantian sebanyak 425 kereta peronda baru yang diumumkan kerajaan sebelum ini berikutan kereta peronda sedia ada telah usang dan tidak selamat sekiranya digunakan.
“Sepatutnya baki 175 lagi kereta itu diterima pada tahun lalu, jadi kita mohon kepada kerajaan untuk mempercepatkan proses penerimaan kereta peronda baru berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.
Tambah Zainal Abidin, pihaknya juga berharap kerajaan akan menyegerakan pertukaran lebih 800 kereta peronda milik pasukan itu yang sudah sampai jangka hayat.
“Kita harap lebih 800 kereta peronda yang sudah capai jangka hayat lima tahun itu ditukarkan dengan jenis yang sama iaitu Honda Civic 1.8.
“Penggunaan kereta peronda jenis Honda Civic dapat beri gambaran keyakinan kepada rakyat ketika pihak polis membuat rondaan.
“Berhubung penggunaan kereta jenis Proton X70 itu kita sudah buat pandu uji di Muar, Johor namun kita dapati sesuai untuk kegunaan ketua jabatan bukan unit peronda,” ujar Zainal Abidin.
Pada Jun tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan dilaporkan berkata PDRM akan menerima 425 kereta peronda baharu model Honda Civic 1.8 untuk tugasan rondaan secara berperingkat sehingga Julai ini.
Kenderaan yang dilengkapi peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka (dashcam) dan perakam video digital mudah alih itu, disewa secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn Bhd selama lima tahun melalui peruntukan mengurus 2020. – MalaysiaGazette