Home Sukan Chelsea capai perjanjian dengan Alvaro Morata

Chelsea capai perjanjian dengan Alvaro Morata

Alvaro Morata

LONDON – Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea dilaporkan sudah mencapai perjanjian dengan Real Madrid untuk menandatangani Alvaro Morata.

Dalam beberapa jam malam tadi, the Blues kendalian Antonio Conte memuktamadkan yuran perpindahan bintang antarabangsa Sepanyol itu bersama Madrid.

Morata difahamkan akan berhijrah dengan yuran perpindahan bernilai £71 juta atau RM396.5 juta.

“Kelab Bola Sepak Chelsea dan Real Madrid telah mencapai terma untuk perpindahan Alvaro Morata ke Stamford Bridge,” kata kenyataan Chelsea.

“Ia tertakluk kepada beliau bersetuju dengan terma perjanjian dan lulus ujian kesihatan,” kata kenyataan itu lagi.

Tindakan pantas itu menyusul selepas Pengurus Manchester United Jose Mourinho gagal memenuhi permintaan yuran yang ditetapkan Real Madrid.

Conte berhasrat mendapatkan khidmat Morata sejak awal musim lalu.

Morata dijangka tiba di London hari ini untuk ujian kesihatan dan seterusnya melengkapkan perpindahan ke Chelsea.

Kelab dijangka mengumumkan secara rasmi pembelian Morata malam ini.

Pembelian tersebut bakal menjadikan pemain berusia 24 tahun itu menjadi pemain Sepanyol termahal dalam sejarah kelab.

Pada 2011 Chelsea membayar £50 juta kepada Liverpool untuk mendapatkan Fernando Torres. – MalaysiaGazette