Home Nasional Penghantar makanan ditampar pemilik kafe

Penghantar makanan ditampar pemilik kafe

Insiden seorang penghantar makanan ditampar pemilik kafe di Petaling Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Gara-gara naik angin, seorang penghantar makanan ditampar seorang lelaki dipercayai pemilik sebuah kafe di Petaling Jaya semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, mangsa berusia 43 tahun itu mendakwa dirinya telah ditampar di bahagian kiri leher oleh pemilik kafe tersebut.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku apabila pemilik kafe itu berselisih faham dengan mangsa berkaitan kelewatan dalam menguruskan penghantaran makanan yang telah dipesan oleh pelanggan.

“Kelewatan itu menyebabkan pelanggan membatalkan tempahan di kafe itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ku Mashariman, polis menerima aduan berkaitan insiden itu sekitar jam 2.04 petang semalam.

Tambah beliau, mangsa juga didakwa dihalau selepas ditampar.

Sebelum itu, video berdurasi 57 saat membabitkan kes itu tular dalam media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada warga netizen.

“Kedua-dua pihak mangsa dan juga pemilik kafe itu telah tampil membuat laporan polis kerana bimbang berikutan video rakaman kejadian itu telah tular di media sosial,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN: