Home Nasional Rombak KPDNKK, tubuh semula Kementerian Pembangunan Usahawan – NGO

Rombak KPDNKK, tubuh semula Kementerian Pembangunan Usahawan – NGO

Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Berikutan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat ekoran perkembangan politik tanah air muktahir ini, Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengkaji semula portfolio agensi itu demi kelangsungan pembangunan usahawan tempatan.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, rombakan tersebut perlu agar terdapat satu kementerian yang boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan usahawan.

“Kita mohon supaya Kementerian Pembangunan Usahawan ditubuhkan supaya dapat dibangunkan semula ekonomi rakyat, khususnya usahawan.

“Kos sara hidup rakyat yang semakin naik, KPDNKK ini perlu dirombak semula kerana penglibatan usahawan dan rakyat serta pengguna tidak berkesan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Pekira juga menyeru rakyat Malaysia agar membuat pilihan yang bijak dalam menentukan kerajaan yang bakal dipilih pada PRU ke-14 akan datang.

Berikutan senario politik muktahir ini, rakyat digesa agar tidak tertipu dengan muslihat mana-mana parti terutama isu membabitkan pembangkang yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Agenda pembangkang, DAP khususnya, yang berpolitik untuk menjatuhkan Najib semata-mata, ternyata tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, tambahnya.

Justeru, Perkira menggesa JabatanPendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengharamkan terus parti DAP sekiranya masih gagal menurut arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Perkara tersebut juga tidak mustahil berikutan UMNO suatu masa dulu pernah diharamkan penubuhannya, katanya.

“PH ni kita lihat agenda mereka mahu jatuhkan Najib saja. Hari ini rakyat tidak dapat sebarang manafaat dari mereka. Kita lihat di mana kita harap rakyat jangan salah pilih kerajaan PRU akan datang.

“Kita yakin kepimpinan sedia ada dan lepas PRU nanti, akan dapat membantu rakyat pada masa depan. DAP ni kalau masih degil, kita gesa supaya ROS haramkan DAP. UMNO pun pernah diharamkan, kenapa tidak DAP.” – MalaysiaGazette