KUALA LUMPUR – Bekalan air di kesemua 58 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual di wilayah Kuala Lumpur dan Gombak pulih sepenuhnya pada jam 8.15 malam tadi.
Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
Syarikat itu turut memohon kerjasama para pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera.
Gangguan bekalan air berjadual yang berlaku di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak berikutan kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju pada 6 April 2021. – MalaysiaGazette