KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan tidak lagi ‘mengimport’ imam luar bagi tujuan solat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini, kata Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata, di Kelantan ada ramai individu yang berkelayakan yang setaraf dengan ‘imam import’ termasuk dari Mesir.
Namun begitu, katanya imam dari luar yang sudah sedia ada di Kelantan akan tetap digunakan kerana mereka memang menetap di negeri ini.
“Setakat ini tidak perlu import, sebab mereka dah ada di sini. Dahulunya mereka memang berada di luar tetapi sekarang sudah ada di sini (dalam Kelantan) yang bertugas sebagai mudir kepada Akademi al-Quran.
“Justeru, kami akan gilirkan khidmat mereka dengan imam tempatan di negeri ini. Insya-Allah…kualiti imam tempatan sama kualitinya dengan imam import ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pasar Awam Siti Mariam dan Kuarters Kerajaan di Bandaraya Satelit Islam Pasir Tumboh di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.
Mengulas lanjut, Ahmad Yakob berkata, sekarang imam luar seperti dari Thailand tidak boleh datang (masuk) ke sini kerana pintu sempadan masih belum dibuka.
“Maknanya kami akan menggunakan khidmat imam tempatan dan jumlahnya adalah cukup. Imam tempatan yang ada termasuk dari tahfiz sains atau tahfiz biasa sudah ramai termasuk yang dibantu kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Mengulas mengenai bazar Ramadan, Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri membenarkan peniaga menjalankan perniagaan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata, setiap peniaga dan pelanggan yang hadir di bazar Ramadan perlu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Peniaga pula perlu mengehadkan hanya dua pelanggan pada setiap masa bagi mengelak kesesakan dan jumlah peniaga di satu-satu bazar adalah mengikut kapasiti kawasan tersebut.
“Kami tahu bahawa COVID-19 amat memberi kesan kepada peniaga terutamanya peniaga kecil. Dengan adanya ruang bulan Ramadan dan bazar Ramadan, kami jangka kegiatan ekonomi juga akan bergerak baik dengan mengikut SOP yang ada,” tambahnya. – Bernama