Home Nasional YADIM perlukan RM50 juta setahun gerak misi dakwah

YADIM perlukan RM50 juta setahun gerak misi dakwah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Senator Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Program Penjanaan Dana Infaq antara Yadim dan MobilityOne di Jakim, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 9 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Sebanyak RM50 juta yang diperlukan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) setiap tahun untuk menggerakkan misi dakwahnya di seluruh negara.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, dana yayasan berkenaan juga digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Gerakan dakwah kita pelbagai segmen, ada menerusi Orang Asli, dakwah di Sabah dan Sarawak juga membantu kategori asnaf yang memerlukan. Kita juga pergi membantu mangsa-mangsa banjir dan untuk aktiviti penyampaian risalah Islam majlis ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Program Penjanaan Dana Infaq YADIM bersama Mobilytyone Sdn Bhd hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal- Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri.

Justeru itu kata Nasruddin, YADIM menjalinkan kerjasama dengan Mobilytyone Sdn Bhd. untuk Program Penjanaan Dana Infaq.

Program berkenaan kata Nasrudin, bertujuan meningkatkan jumlah kutipan dana untuk melaksanakan gerakan dakwah di negara ini secara dalam talian.

Menerusi perjanjian itu nanti, ia akan membolehkan masyarakat membuat pilihan bagi melaksanakan infaq sama ada di premis peniaga yang dilantik Mobility One atau YADIM atau atas talian melalui aplikasi mudah alih dan portal.

Terdapat tiga kategori Tabung Infaq dakwah YADIM ketika ini yang disasarkan untuk ditingkatkan dana iaitu Infaq Dakwah, Infaq Kebajikan dan Infaq Bantuan Pendidikan.

Zulkifli ketika menyampaikan ucapan secara ringkas berharap agar YADIM dapat menggerakkan dakwah dengan lebih meluas lagi pada masa akan datang. – MalaysiaGazette