SHAH ALAM- Polis Selangor setakat ini telah membuka dan melengkapkan 11 kertas siasatan ke atas Presiden Pertubuhan Organisasi Kebajikan Rakyat Malaysia, T. Sivanesan atas kesalahan membuat laporan palsu.
Malah kesemua kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh Sivanesan di mahkamah.
Katanya, Sivanesan telah membuat 13 laporan polis mendakwa polis Kuala Langat gagal mengambil tindakan ke atas laporannya sejak tahun 2019.
“Kalau ikut pecahan kes siasatan, pada tahun 2019, ada empat laporan polis diterima diikuti empat lagi laporan polis pada tahun lepas dan tahun ini ada lima laporan yang antaranya disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
“Hasil soal siasat membabitkan kesemua 13 laporan polis itu mendapati laporan polis yang telah dibuat pengadu (Sivanesan) adalah tidak benar dan pegawai penyiasat setiap laporan itu telah membuat laporan polis balas ke atas Sivanesan kerana bukti menunjukkan kesemua laporanĀ itu adalah palsu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Tambah Arjunaidi, kes itu telah dibuka di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, tindakan sewajarnya telah diambil dan sebanyak 11 kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan mahkamah ke atas Sivanesan.
“Dakwaan yang dilemparkan oleh Sivanesan kononnya polis tidak menjalankan siasatan dalam setiap laporan adalah tidak benar sama sekali.
“Jika Sivanesan tidak berpuas hati dengan siasatan polis, dia boleh tampil semula atau hubungi kita untuk mengemukakan bukti untuk segala dakwaannya.
“Kita akan siasat seadilnya ke atas semua laporan dia nanti dan tindakan polis adalah berdasarkan fakta dan keterangan,” tegasnya.- MalaysiaGazette