Saturday, November 30, 2024
Home Utama Audio tular: Apa isu? Ada khianat? Ada jenayah? – Anwar

Audio tular: Apa isu? Ada khianat? Ada jenayah? – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara di Country Heights, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2021.

KAJANG – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengiya atau menidakkan rakaman audio perbualan telefon yang didakwa melibatkan dirinya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan itu mempersoalkan kembali sama ada rakaman yang tular itu ada membabitkan sebarang pelakuan jenayah atau khianat.

Ketika ditanya dalam sesi dialog anjuran Majlis Profesor Negara di sini hari ini, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mempersoalkan isu yang perlu dikaitkan dengan rakaman itu kepada moderator, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Program Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara di Country Heights, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2021.

“Tapi apa isunya? Isu dia nak alih daripada soal rasuah sekarang, penggantungan Parlimen, dasar dan nasib rakyat.

“Ini yang dia nak alih, audio jadi keutamaan. Kalau betul, apa masalah dia? Ada khianat di situ? Ada jenayah? Tak ada,” katanya dalam program yang berlangsung selama 1 jam 15 minit itu.

Anwar memberitahu, beliau sudah membuat kenyataan mengenai rakaman audio tersebut dan perkara sama turut dilakukan oleh Ahmad Zahid.

“Saya sudah buat kenyataan, Zahid dah buat kenyataan… move on, masalah negara ini apa?,” ujarnya yang menjawab  soalan Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff pada sesi Program Minda TV: Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).

Pada peringkat ini, Mohamad Agus mencelah dan berkata soalan yang diajukannya adalah jelas dan perlu dijawab secara berterus terang.

“Itu bukan masalahnya. Saya pun tidak ada masalah, soalan saya sangat mudah. Apakah (audio) itu Datuk Seri atau bukan? Kedua, adakah Datuk Seri telah buat laporan polis atau belum? Very straight foward,” soal Mohamad Agus.
Anwar Ibrahim
Namun, Anwar menjawab, perbincangan lanjut berkenaan isu audio tular itu tidak membawa keuntungan kepada rakyat pun.
“Kalau tak ada masalah, apa masalah yang nak dibangkitkan dalam majlis macam ini? Apa masalah yang untungnya bagi rakyat.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa, rakaman audio yang tular beberapa hari lalu sengaja dijadikan modal politik oleh Perikatan Nasional (PN).

Pada masa sama katanya, pengikut PN tidak mempersoalkan pula rakaman yang pernah tular melibatkan pemimpin mereka sendiri dalam beberapa isu tertentu.

“Kenapa kerajaan ini riuh rendah… tidak pernah dengar pasal video dan audio yang lain? Banyak!

“Nampaknya, (klip audio) hanya nak dijadikan modal politik untuk hebahkan Anwar-Zahid.

“Siapa yang tidak dengar audio (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, kaitkan akan beri jawatan menteri dan GLC kepada UMNO?” soal Anwar.

Beliau mengulangi akan membuat laporan polis berhubung penularan video tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya media selepas program berkenaan bilakah beliau akan membuat laporan polis itu, Anwar hanya memberitahu, “nanti”.

Dr. Mohammad Agus Yusoff bercakap kepada media selepas Program Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara di Country Heights, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2021.

Mohammad Agus ketika diminta memberikan responnya berhubung soalan yang diajukan kepada Anwar dalam program berkenaaan berkata, beliau berlapang dada dengan jawapan yang diberikan oleh Presiden PKR itu.

Ujarnya, Anwar berhak untuk menjawab atau tidak soalan tersebut dan beliau hanya memberi peluang kepadanya untuk memberikan jawapan terbuka pada program itu.

“Bagi saya kalau dia tidak jawab, tiada implikasi undang-undang dan saya kira itu hanya satu politik biasa yang berlaku dari sehari ke sehari.

“Cuma kalau nak dilihat dari aspek undang-undang yang lebih jauh lagi ialah aspek keselamatannya..siapa yang tape (rekod), mengapa perlu di tape..adakah kita tidak ada privasi bila berhubungan dengan orang, takut-takut kita diintip begitu,” tambahnya.

Namun, katanya lagi, jika benar ia merupakan perbualan antara kedua-dua pemimpin parti berkenaan adalah lebih baik sekiranya mereka berdua mengaku sahaja kerana jika tidak berkata benar, akhirnya mereka akan terperangkap dengan kata-kata sendiri. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Betul betul betul. Bukan jenayah ka hapa ka tp takut jugak nak ngaku siapa yang bersembang tu.. ngaku ja la. Bukan ada bat salah apa pun.

Comments are closed.