GENEVA – Korea Utara menghadapi kekurangan bekalan makanan yang teruk selepas terjejas akibat kemarau yang paling teruk sejak tahun 2001, menurut laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengeluaran tanaman di negara tersebut telah terjejas sepanjang tempoh kemarau yang lama dan import makanan kini amat diperlukan untuk maslaah itu.
Kanak-kanak dan orang tua akan paling teruk akibat masalah ini.
Pada tahun 1990-an, beratus-ratus ribu penduduk Korea Utara dipercayai telah meninggal disebabkan kebuluran.
“Kemarau yang berlaku sekarang adalah serius,”, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB sambil menambah bantuan makanan ke negara itu telah menjunam secara dramatik sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Ini sebahagiannya disebabkan oleh sekatan yang dilaksanakan terhadap Korea Utara melalui program pembangunan senjata.
Program Makanan Dunia PBB (WFP) juga menyaksikan penurunan sumbangan yang curam, kata agensi itu.
Kekurangan hujan berterusan di Korea Utara sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah menjejaskan tanaman ruji seperti beras, jagung, kentang dan kacang soya, yang mana kebanyakan penduduk bergantung kepada musim akhir tuaian dari bulan Mei hingga September.
Di kawasan pengeluaran utama, hujan dari April hingga Jun 2017 jatuh di bawah purata jangka panjang.
Musim kering yang teruk ini mengganggu peringkat awal proses pertanian, menurut para pakar dari FAO yang dipetik dalam laporan tersebut.
Akibatnya, penuaian tanaman dari musim awal, termasuk gandum, barli dan kentang, juga telah terjejas.
FAO menganggarkan pengeluaran tanaman musim awal tahun 2017 telah menjunam lebih dari 30 peratus dari tahap 450,000 tan pada tahun sebelumnya kepada 310,000 tan. – MalaysiaGazette